Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » [Wow] Dakwat kekal perlu kajian terperinci! dakwat mudah tanggal tidak sampai 24 jam..
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

dakwat kekal

PENGGUNAAN dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menyaksikan pelbagai persoalan timbul termasuk reaksi negatif bahawa dakwat tersebut tidak kekal.

Banyak pihak mempersoal mengapa dakwat mudah tanggal tidak sampai 24 jam selepas dicalit oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Adakah di negara-negara lain yang menggunakan dakwat kekal juga mengalami perkara yang sama?

Jika dilihat tujuan asal penggunaan dakwat kekal ini adalah bagi memudahkan perjalanan proses pilihan raya dan mengelakkan sebarang penipuan.

Beberapa negara demokrasi besar di dunia terpaksa menggunakan dakwat kekal kerana mempunyai jumlah rakyat dan pengundi yang terlalu ramai.

Bagi negara-negara ini, untuk melaksanakan satu sistem pendaftaran rakyatnya secara menyeluruh bagi mewujudkan sistem pengkalan data yang lengkap adalah sukar dilaksanakan.

Sebagai contoh, India mempunyai 750 juta pengundi, Pakistan (120 juta), Bangladesh (80 juta), Indonesia (130 juta), Filipina (50 juta) dan Mexico (60 juta).

Kesemua negara ini terpaksa menggunakan dakwat kekal bagi memastikan tidak berlaku penipuan mengundi lebih daripada sekali di pusat-pusat mengundi yang berlainan.

Negara-negara berkenaan juga tidak mempunyai sistem Kad Pengenalan canggih yang mengandungi identifier unik membezakan seorang pengundi dengan pengundi lain seperti di Malaysia.

Oleh itu, sebagai jalan penyelesaian, penggunaan dakwat kekal dilaksanakan kerana kaedah ini mudah dan murah.

SPR sebelum ini telah mengadakan demonstrasi penggunaan dakwat kekal kepada wakil-wakil media bagi membuktikan dakwat kekal dicalit pada jari pengundi memang tidak boleh dipadamkan.

Dalam demonstrasi itu, ternyata percubaan petugas media berkenaan untuk memadamkan kesan dakwat dicalit pada ruas pertama jari telunjuknya termasuk bahagian kuku tidak berhasil meskipun menggunakan beberapa bahan pencuci.

SPR juga menggariskan beberapa peraturan perlu diikuti petugas SPR di pusat mengundi pada hari mengundi.

Antaranya, botol dakwat perlu digoncang setiap dua jam sekali selama 30 saat, jari pengundi perlu bersih serta kering, dan dakwat perlu dicalit pada keseluruhan ruas pertama hingga ke kuku dan bahagian bawah jari.

SPR memberi jaminan sekiranya peraturan ini diikuti, dakwat kekal dicalit di jari pengundi tidak akan hilang sehingga tempoh lima hingga tujuh hari.

Ini kerana penggunaan dakwat itu sudah diuji dan diluluskan penggunaannya oleh Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia dan diputuskan halal oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya akan meneruskan penggunaan dakwat kekal pada PRU14 dengan melaksanakan beberapa penambahbaikan terutama dari segi kualiti dakwat.

Menurutnya, penggunaan dakwat kekal itu akan tetap dilaksanakan kerana ia diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen dan dimaktubkan dalam undang-undang pilihan raya.

"Kami akan kaji ramuan dakwat itu, serta meletakkan satu standard terhadap kualiti dakwat itu," katanya kepada media selepas rancangan bual bicara Hello Malaysia dikelolakan Bernama TV.

Beliau berkata, tindakan sesetengah pihak cuba memperbesarkan isu penggunaan dakwat kekal yang didakwa mudah luntur selepas dicalit tidak lebih kepada motif politik semata-mata.


Jika dilihat kepada penjelasan ini, boleh disimpulkan bahawa SPR berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal.

Namun, perlaksanaan tersebut tidak berjaya sepenuhnya kepada tempoh masa yang singkat untuk SPR benar-benar bersedia memastikan dakwat tersebut berkesan dalam tempoh masa lebih lama.

SPR seharusnya menggunakan tempoh lima tahun mandat pentadbiran kerajaan yang baru bagi mengkaji mekanisme terbaik penggunaan dakwat kekal ini.


Ini kerana, dalam PRU13, SPR hanya mempunyai tempoh setahun iaitu dari awal 2012 untuk mengkaji penggunaan dakwat sesuai digunakan dan tempoh ini masih tidak mencukupi untuk memastikan keberkesanan dakwat tersebut.

Antara perkara yang perlu diambil perhatian adalah sama ada kandungan dalam dakwat itu perlu penambahbaikan bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan tidak mudah ditanggalkan.

Selain itu, SPR juga perlu memastikan kesemua pegawai SPR yang bertugas pada hari pengundian bersedia dan arif mengendalikan penggunaan dakwat itu.

Ini kerana, jika dilihat sendiri pada hari pengundian 5 Mei lalu, masih ramai petugas SPR tidak mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengendali dakwat kekal.

Akibatnya, banyak kes dilaporkan oleh media sosial yang menunjukkan dakwat mudah tanggal walaupun selepas beberapa minit dicalit.

Jika kajian terperinci mampu dibuat, pastinya SPR akan lebih bersedia melaksanakan penggunaan dakwat kekal bagi PRU14 dan tidak lagi dibayangi kegagalan dakwat yang 'kekal tetapi tanggal'.

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments