BUTTERWORTH 15 Dis. - Selepas tiga hari diburu,
dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kes culik dan menjual seorang
bayi perempuan berusia tujuh bulan dari rumah neneknya di Paya Terubong
pada Khamis lalu, berjaya ditahan polis.
Kedua-dua wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan di sebuah
stesen bas di sini pukul 3.30 petang sebaik sahaja tiba dari Kuala
Lumpur dengan menaiki bas ekspres.
Kejayaan polis itu berhasil setelah mengesan mereka melalui talian telefon bimbit yang digunakan oleh seorang daripada suspek.
Menurut sumber, wanita itu difahamkan menggunakan nombor telefon yang
sama kerana dipercayai mahu berhubung dengan pembeli bayi tersebut yang
masih berhutang dengan mereka.
"Seorang daripada wanita berkenaan melarikan diri ke rumah suaminya
di Negeri Sembilan. Dia dipercayai pulang semula ke negeri ini untuk
mengambil baki wang jualan bayi tersebut," katanya di sini hari ini.
Dalam laporan akhbar semalam, polis berjaya menemui semula seorang
bayi yang diculik oleh dua wanita kira-kira pukul 3.30 petang Khamis
selepas menahan seorang warga emas yang membeli bayi itu dengan harga
RM3,000.
Kedua-dua wanita itu dikatakan mengunjungi rumah nenek bayi itu yang
merupakan rakan sekerja seorang daripada mereka di Paya Terubong dengan
alasan hendak membawa bayi itu bermain sebelum melarikan bayi berkenaan.
Sementara itu menurut sumber, sepasukan anggota polis bergegas ke
stesen bas dan pemeriksaan polis berjaya menemui kedua-dua wanita itu
dalam sebuah bas ekspres yang baru tiba dari Kuala Lumpur.
Katanya, kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur
Laut untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan
Orang 2007.
Sementara itu Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang,
Asisten Komisioner Nasir Salleh ketika dihubungi memberitahu satu sidang
akhbar mengenai kes itu akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
(IPK) Pulau Pinang esok.
No comments
Post a Comment