Cilacap: Misteri pembongkaran beberapa kubur di daerah di Jawa Timur
ini akhirnya terjawab apabila polis Cilacap menahan seorang pemuda yang
mengaku ingin belajar terbang seperti Superman dan menjadi halimunan.
Resi Rookiswana @ Pamungkas mengaku memerlukan kain kafan dari
sejumlah kubur atas arahan seseorang bernama ‘ratu’ untuk menguasai ilmu
itu.
“Ini untuk dibuat ilmu terbang. Saya sendirian mengambil kain kafan di kubur atas arahan ratu di Srandil,” katanya.
Antara mangsa Resi ialah Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia
baru-baru ini. Resi didakwa memenggal kepala mayat Endah selepas
membongkar kubur anak dara itu. Lelaki itu semalam berdegar-degar
mengakui mampu menghilangkan diri, namun apabila diminta polis
menunjukkan bakatnya itu dia sekadar ketawa dan memberi alasan cuma
boleh melakukannya di tempat sunyi.
“Saya mampu menghilangkan diri, tahu-tahu sudah berada di tempat lain.
“Bukan sebarang orang boleh buat begitu,” dakwanya.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Cilacap AKP Agus Turyadi berkata, pihaknya menahan suspek selepas mengekorinya beberapa jam.
“Kami mengekorinya sepanjang malam sebelum menahannya di tepi landasan kereta api.
“Bahan bukti termasuk peralatan digunakannya juga dirampas di situ berikutan tempat itu dijadikan rumahnya,” katanya.
Menurutnya, polis merampas tulang tangan, rusuk, baju dan tali kain kafan milik seorang bayi yang juga diselongkar kuburnya.
Batu dan senjata tajam turut ditemui di rumah suspek.
Sementara itu, ketika dibawa ke balai polis, keluarga wanita yang kuburnya dibongkar suspek menyerang Resi.
Bagaimanapun mereka berjaya dihalang anggota polis bertugas.
Menurut Agus, Resi pernah dipenjara pada 2010 dan 2012 kerana mencuri motosikal. - Agensi
No comments
Post a Comment