LUBNAN – Rancangan Arabs Got Talent mengejutkan penonton apabila
salah seorang pesertanya telah menggigit kepala ular dan menyiat kulit
reptilia itu sebelum memakannya dalam aksi yang disifatkan sebagai amat
menjijikkan.
Tindakan itu juga menyebabkan, seorang juri wanita keluar daripada
dewan tersebut sebagai tanda protes selepas dia menyaksikan bagaimana
peserta terbabit Ahmed Al Dousary, 32, yang berasal dari Riyadh, juga
makan kala jengking yang masih hidup.
Bagaimanapun `bakat’ Ahmed itu mendapat penghargaan daripada dua juri
lelaki yang mengiktiraf perbuatannya yang disiarkan pada Sabtu lalu.
Perbuatan tersebut juga menyebabkan rancangan itu dikritik hebat terutama oleh pencinta alam sekitar dan aktivis.
Ketika memulakan persembahan, Ahmed memberitahu bahawa dia akan
melakukan persembahan ala tentera dan kemudiannya mula makan gelas kaca.
Selepas itu dia melakukan aksi mencabar dengan makan kala jengking hidup sebelum akhirnya makan ular tersebut.
Akibatnya, dia dianggap sebagai tidak siuman.
Susulan perbuatan berkenaan, Arabs Got Talent telah dikecam hebat di
alam media sosial dan disifatkan sebagai rancangan tidak bermoral serta
tidak menghormati penonton.
Salah seorang penulis yang dikenali sebagai Noory berkata, produser
rancangan berkenaan sepatutnya mengetahui lebih awal tentang apa yang
akan dilakukan oleh peserta terbabit.
Namun, tegasnya, rancangan itu dan produsernya tetap mempertimbangkan aksi berkenaan yang kemudiannya ditonton oleh kanak-kanak.
“Saya tidak terkejut jika selepas ini kanak-kanak akan mula melakukan
kekejaman ke atas kucing atau anjing liar, semata-mata mahu mendapat
kemasyuran selama 15 minit itu,’’ katanya.
Arabs’ Got Talent telah diterbitkan dan disiarkan di MBC4 sejak Januari 2011. Ia dirakamkan Lubnan.
No comments
Post a Comment