NEW YORK – Seorang wanita Amerika Syarikat menghabiskan 61 tahun
hidup dalam tiub besi untuk terus bernafas selepas penyakit polio
menyebabkan dia lumpuh.
Martha Mason terbaring dalam tiub yang digelar sebagai paru-paru besi
yang berfungsi sebagai sejenis pengalih udara, menambah dan
mengurangkan tekanan udara bagi mengembang dan mengecutkan paru-paru
Martha kerana ototnya amat lemah. Martha terbaring dalam silinder besi
berukuran 2 meter panjang dan seberat 362 kilogram itu, membaluti
tubuhnya kecuali kepala.
Martha lumpuh ketika berusia 11 tahun selepas menghidap polio sejurus selepas wabak itu membunuh adik lelakinya, Gaston.
Selepas adik lelakinya dikebumi, Martha menyedari yang dia juga
menghidap simptom sama, tetapi merahsiakan kebimbangannya untuk tidak
membuat ibu bapanya sedih.
Dalam bukunya ‘Bernafas: Hidup Dalam Rentak Paru-Paru Besi,’ Martha menulis: “Saya tahu saya menghidap polio.
Saya tidak mahu orang lain tahu mengenainya. “Sehari sebelum itu saya
dengar ibu bercakap dengan rakannya mengenai paru-paru besi yang
dipakai Gaston. “Saya tahu saya tidak akan berdepan kesukaran itu kerana
saya ada paru-paru yang sihat.” Dalam video dirakam sebelum kematiannya
pada 2009, Martha berkata: “Saya sering berfikir bagaimana perasaan ibu
bapa saya apabila saya jatuh sakit – mereka turut mengebumikan
satu-satunya anak lelaki mereka.
“Orang lain dan saya sendiri menyangka ibu bapa saya akan hidup lebih
lama daripada saya. Doktor berkata, paling lama pun, saya hanya akan
hidup setahun, tetapi sehingga hari ini saya masih hidup. Terima kasih
kepada paru-paru besi itu.” Mereka yang menulis mengenai kisah hidupnya
berkata, semangat dan keinginan Martha untuk menjalani kehidupan biasa
adalah kunci kepada umur panjangnya.
Walaupun mengalami keadaan yang sukar, Martha yang dilahirkan pada
1937 dan tinggal di Lattimore, North Carolina berjaya menamatkan
pembelajaran sekolah menengah dengan keputusan terbaik, selain turut
menganjurkan parti makan malam.
Dalam video itu Martha berkata: “Hidup seperti ini sudah menjadi
perkara biasa buat saya saya tidak pernah memikirkan mengenainya.”
“Mesin ini berfungsi daripada gegendang telinga saya seperti beg udara
besar. Terdapat kaedah lain pengalihan udara, tetapi saya memilih untuk
tidak melakukannya. – Agensi
No comments
Post a Comment