PANGGUNG wayang tertua di dunia, Eden Theatre dibuka semula semalam (Rabu), setelah ditutup selama 18 tahun.
Terletak di La Ciotat, sebuah bandar di selatan Perancis, panggung yang merupakan milik adik beradik Lumiere, Auguste dan Louis ini telah ditutup sepenuhnya sejak 1995.
Pada 21 Ogos 1899, Eden menghimpunkan 250 penonton wayang pertama bagi menyaksikan gambar bergerak berupa filem bisu bertajuk ‘Arrival of a Train at La Ciotat’.
Filem hitam putih itu sekadar memaparkan perjalanan keretapi wap menuju stesen dan penumpang yang turun naik.
Dek kerana kagum dan terperanjat, ada antara penonton dikatakan terjatuh dari kerusi.
Sejak itu Eden melalui zaman kegemilangan hinggalah penonton semakin berkurangan dan pemiliknya dibunuh oleh perompak pada tahun 80an.
Sampai satu waktu, Eden hanya dibuka sekali setahun sahaja untuk menjadi lokasi satu festival filem berbahasa Perancis.
Pencinta bangunan bersejarah sudah lama memohon agar Eden dibuka sepenuhnya namun ia hanya menjadi kenyataan setelah pihak tempatan bersetuju mengeluarkan bajet sebanyak USD8.1 juta untuk kerja-kerja pengubahsuaian.
No comments
Post a Comment