isu yang berkaitan seperti ‘SPAD beri amaran naik harga tambang teksi’ yang dipaparkan di Harian Metro (HM) pada 4 September lalu, ‘Pemandu sambilan rosak imej teksi’ (HM - 3 September 2013) serta artikel bertajuk ‘Nafi ugut pengurus bengkel’ di HM yang dikeluarkan pada 3 September 2013 lalu menarik minat pembaca mengetahui sejauh manakah sikap sebenar pemandu teksi.
Jika ditanya kepada orang ramai, rata-rata mengakui mempunyai pengalaman buruk sebagai penumpang sama ada disamun, ditengking, diperas ugut dan paling menakutkan, apabila ada penumpang wanita cuba diraba dan dirogol!
Sikap yang bertenta-ngan dengan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia sewajarnya mendapat perhatian serius, sekali gus permit pemanduan teksi itu boleh ditarik balik.
Namun, bagaimana sebaliknya?
Apabila pemandu teksi wanita pula diraba, disamun, dimaki hamun dan diperas ugut penumpang lelaki, ia pasti memberi mimpi ngeri kepada pemandu wanita.
Bagi menyelami asam garam kehidupan pemandu teksi wanita di ‘bandaraya besi’ Kuala Lumpur, penulis bertemu seorang pemandu wanita, Siti Aishah Ismail, 37, dari Bandar Tun Razak, Cheras.
Ternyata Siti Aishah mempunyai sikap yang ramah dan tidak lokek berkongsi cerita mengenai cabaran, rintangan dan suka duka sepanjang dua tahun membawa teksi.
Lebih selesa dikenali sebagai Aishah, dia tidak menghadapi sebarang kekangan keluarga, malah suaminya, Zainal Abidin Ramli yang juga pernah menjadi pemandu teksi turut menyokong keinginan wanita itu untuk mencari rezeki.
“Cuma anak bongsu saya yang berumur empat tahun sering bertanya mengenai tugas yang saya lakukan setiap hari. “Saya mula bekerja dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan bersambung dari jam 2 petang hingga ke 9 malam.
“Dalam kesibukan tugas, saya masih mempu-nyai masa menjalankan tanggung jawab sebagai seorang isteri dan ibu. “Saya memasak dan menyiapkan keperluan keluarga,” katanya yang mempunyai tujuh cahaya mata.
Pada mulanya dia tidak yakin dengan dirinya sendiri untuk memandu teksi sehingga dicabar rakan-rakan yang mempunyai lesen sebagai pemandu teksi.
“Memang risau kerana cabaran sebagai pemandu teksi di ibu kota berisiko tinggi, tetapi rakan-rakan memberi galakan untuk mencari rezeki sebagai pemandu teksi.
“Ada juga pemandu teksi lelaki yang mencabar dengan mengatakan kami lemah dan penakut kerana ketika itu jumlah pemandu wanita boleh dibilang dengan jari.
“Alhamdulillah, saya lulus ujian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta Jabatan Pengangkutan Jalan dan mendapatkan lesen vokasional teksi (PSV),” kata wanita yang berasal dari Kelantan ini.
Pendapat penulis, sikap pemandu teksi wanita yang ramah adakalanya boleh mendatangkan masalah kepada diri mereka sendiri.
Aishah turut mengakui perkara ini kerana pelbagai pengalaman pahit dialami ketika berhadapan dengan penumpang lelaki sama ada warga tempatan atau asing.
“Ada satu peristiwa saya mengambil penumpang warga Myanmar dari Jalan Maluri ke Pudu Plaza.
“Selepas penumpang itu menaiki teksi ini, baru saya sedar dia dalam keadaan mabuk dan cuba me-nyentuh saya ketika sedang memandu.
“Saya memberanikan diri dengan memberi amaran, jika dia menyentuh lagi, saya akan halau keluar dari teksi.
“Syukur, penumpang Myanmar itu sedar tingkah lakunya yang biadab lalu meminta maaf.
“Namun, peristiwa itu tidak habis di situ kerana apabila tiba di Pudu Plaza, penumpang itu membayar menggunakan wang RM50 sedangkan tambang tertera meter hanya RM5,” katanya.
Katanya, pengalaman lain yang tidak dilupakan ketika mengambil penumpang dari Bukit Bintang ke Tropicana City Mall, Petaling Jaya.
“Saya sudah beritahu penumpang itu saya tidak pasti laluan di kawasan terbabit, tetapi penumpang warga Amerika itu tetap mahu saya membawanya ke Tropicana City Mall.
“Seperti dijangka, saya sesat tetapi tetap bertekad untuk menghantar penumpang itu ke tempat yang diminta sekalipun agak lewat.
“Apabila tiba di Tropicana City Mall, meter menunjukkan jumlah RM35, tetapi saya cuma minta RM20.
“Seperti tidak percaya, penumpang itu yang bersama isteri dan anak-anaknya cuma membayar RM15.
“Saya tidak kisah dengan jumlah itu, tetapi lebih memilukan apabila lelaki itu menyebut ‘busxxxd’ ketika keluar dari teksi saya.
“Hanya Allah tahu perasaan saya dan sejak itu saya berhati-hati apabila mengambil penumpang warga asing untuk mengelak peristiwa yang sama berulang,” katanya.
Sewaktu bersama penulis, Aishah memaklumkan perlu mengambil penumpang tetap yang sering menggunakan perkhidmatan teksinya di sekitar Kuala Lumpur.
Dari KL Sentral, kami ke Petaling Jaya seperti mana yang dikehendaki selepas menerima panggilan dari penumpangnya itu.
Sewaktu melihat ke arah meter, caj yang terpapar RM11 manakala caj panggilan langsung dikenakan RM2 membolehkan Aishah membawa pulang pendapatan sekurang-kurangnya RM120 - RM150 sehari dan perlu disimpan untuk membayar sewa dan membaiki kerosakan teksi.
“Pendapatan saya meningkat sejak menggunakan aplikasi Easy Taxi.
“Tanyalah mana-mana pemandu teksi, berlaku banyak kes merebut pelanggan sewaktu perkhidmatan panggilan radio sehingga timbul pergaduhan sesama pemandu teksi.
“Aplikasi Easy Taxi bukan saja selamat untuk penumpang, malah memberi kelebihan kepada pemandu teksi kerana mereka dibekalkan dengan maklumat seperti nama dan nombor telefon penumpang,” katanya.
No comments
Post a Comment