KUANTAN – “Sudahlah keadaannya lemah, tiba-tiba saya lihat anak saya mendiamkan diri dan tidak memberikan sebarang tindak balas apabila digerakkan seluruh badan sambil memanggil namanya, membuatkan saya terlalu panik dan menangis-nangis tanpa henti melihat keadaannya."
Demikian kata-kata Nina Suraya Sulaiman, 24, yang masih trauma dengan kajian menimpa anak sulungnya, Mohamed Hareez, 4 bulan, yang cedera dilambung bekas pembantu rumahnya, baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), malam semalam, Hareez tersedak tetapi memandangkan keadaanya yang tidak bermaya membuatkan dia menjad kaku secara tiba-tiba.
“Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, kami terus sahaja membawanya ke unit kecemasan bimbang berlaku perkara tidak diingini.
“Di hospital doktor boleh memantau keadaannya memandangkan Hareez masih lagi lemah dan belum betul-betul sihat sepenuhnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wad Kanak-kanak HTAA, hari ini.
Dalam pada itu, Nina berkata, setelah dimasukkan ke hospital dan menjalani beberapa rawatan keadaan Hareez semakin baik.
“Buat masa ini Hareez stabil dan kami masih lagi menunggu hasil keputusan daripada pihak hospital mengenai keadaan kesihatannya.
“Walaupun keadaan fizikalnya nampak seperti tidak ada apa, cuma kesan-kesan lebam yang semakin pulih, namun keadaan dalamannya masih belum kami tahu.
“Harap supaya Hareez cepat pulih seperti sediakala dan dapat membesar seperti anak-anak yang lain," katanya.
No comments
Post a Comment