KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri mewartakan Perintah Larangan
Penerbitan terhadap buku ‘Ultraman The Ultra Power’, yang didapati
mengandungi unsur-unsur mungkin memudaratkan ketenteraman awam.
Buku terbitan bahasa Melayu itu adalah terbitan Resign Publications, manakala pencetaknya Network Printers.
Mengikut kenyataan kementerian itu hari ini, warta larangan itu
berkuat kuasa 18 Feb lepas mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan 1984.
“Adalah menjadi satu kesalahan mengikut subseksyen 2 Seksyen 8 Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekiranya mana-mana orang mencetak,
mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual,
mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada
dalam miliknya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil
penerbitan larangan,” menurut kenyataan itu.
Mereka yang disabitkan melakukan kesalahan itu boleh dikenakan
penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000
atau kedua-duanya.
– Bernama
No comments
Post a Comment