Gambar Hiasa |
Nilai: “Takut memang takut tapi apakan daya saya perlu pertahankan
diri dan menjalankan tanggungjawab dengan baik,” kata Salihin Mugi, 38.
Dia adalah penyelia keselamatan di sebuah hotel di Bandar Baru
Nilai, di sini, yang menceritakan kejadian dirinya bergelut dengan dua
penjenayah yang cuba merompak hotel berkenaan, semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa berdepan detik mencemaskan selepas bergelut lebih 10 minit menggunakan kayu mengakibatkan kecederaan di kedua-dua tangannya.
Salihin yang bertugas di hotel itu tiga bulan lalu terkejut
dengan kehadiran dua lelaki tidak bertopeng bersenjatakan parang
menyerbu hotel dan mengugut menyerahkan wang.
“Ketika itu saya di kaunter pertanyaan manakala isteri yang menemani, tidur di bilik berhampiran.
“Dua lelaki lingkungan 20-an masuk ke lobi hotel dan menjerit supaya saya menyerahkan wang jika tidak mahu dicederakan,” katanya.
Menurutnya, dia yang enggan mengikut arahan lelaki terbabit
kemudian ditetak kedua-dua suspek. tetapi mengelak selain menggunakan
kedua-dua tangan bagi mempertahankan diri.
Menurutnya, dia kemudian mengambil sebatang kayu di belakang kaunter bagi mempertahankan diri dan bergelut dengan suspek terbabit.
“Saya bersyukur kerana isteri terjaga daripada tidur dan menghubungi polis menyebabkan suspek melarikan diri,” katanya.
“Serangan itu menyebabkan saya cedera di tapak tangan kiri selain urat di tapak tangan kanan putus akibat tetakan itu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Mangsa kemudian membuat laporan di Pondok Polis Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) sejurus dibawa anggota polis yang tiba lima minit selepas kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.
No comments
Post a Comment