KOTA BHARU – Pengasas Pusat Perubatan
At-Tobibi, Datuk Shamsuri Shafie tidak menolak kemungkinan pelajar yang
mati tergantung di sebuah sekolah di Kok Lanas, Disember lalu berpunca
daripada kerasukan.
Menurutnya, berdasarkan beberapa faktor
dikenal pasti termasuk gangguan yang berlaku ke atas beberapa pelajar
sebelum dan selepas itu, beliau yakin kejadian di luar jangkaan itu
bukan angkara gangguan jin dan syaitan.
“Pelbagai spekulasi tersebar sebelum ini
sehingga ada mengaitkannya dengan buli dan bunuh diri, namun saya
menolak kemungkinan tersebut, sebaliknya berpendapat ia kes kerasukan,”
katanya kepada Sinar Harian ketika hadir memberikan rawatan secara
sukarela di sekolah itu, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan
Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah dan Pengurus Cawangan
Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.
Shamsuri berkata, agak pelik jika
pelajar yang menghafaz al-Quran dan datang dalam kalangan yang terpilih
bertindak sedemikian jika tidak dipengaruhi oleh unsur lain.
Sambil mencadangkan agar satu kaedah
untuk memperkukuh kerohanian dibuat, Shamsuri berkata, ia penting bagi
membantu memulihkan semangat pelajar di sekolah itu yang rata-ratanya
masih trauma dengan keja-dian tersebut.
“Kejadian ini adalah fenomena biasa,
walau apa pun saya mengharapkan agar pelajar di sini akan terus melakar
kejayaan demi kejayaan, sekali gus kembali cemerlang dan mampu
melahirkan ilmuwan di peringkat tertinggi,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Nasir berkata,
KMK sentiasa prihatin terhadap kesulitan dihadapi orang ramai dan dalam
kali ini bergandingan dengan Pusat Rawatan At-Tobibi untuk sama-sama
membantu memulihkan semangat pelajar di sekolah itu.
Dalam pada itu, difahamkan sekolah yang
mempunyai lebih 400 pelajar itu tetap menjadi pilihan pelajar dari dalam
dan luar negeri apabila kemasukan pelajar sesi ini meningkat berbanding
sebelum ini. - Sinar Harian Online
No comments
Post a Comment