BAGAN SERAI – Seorang penjenayah bukan hanya berputih mata kerana
gagal menyamun seorang pengusaha bengkel kereta dengan menggunakan
pistol mainan malah dia cedera selepas dibelasah orang ramai di Batu 8,
di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek berusia lingkungan
40-an terbabit memasuki premis milik T Anthony Dass, 41, dan mengugut
peniaga itu supaya menyerahkan wang tunai kepadanya.
Anthony berkata, dia yang sedang bersendirian di bengkelnya terkejut
diacukan pistol oleh suspek yang memasuki premisnya melalui pintu utama.
Menurutnya, suspek yang berada berdekatan pintu utama bengkel itu
mengugut untuk menembaknya sekiranya mangsa gagal menyerahkan wang tunai
dan barang berharga.
“Panik dengan kejadian itu, saya terus menolak pintu utama dan
menyebabkan pencuri itu terhumban keluar, manakala pistolnya terlepas
dari pegangannya.
“Melihat suspek terjatuh, saya segera menjerit meminta tolong dan tindakan saya itu menyebabkan suspek cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun, lelaki terbabit berjaya dihalang adik saya dan orang
ramai yang berada di sekitar bengkel,” katanya kepada Sinar Harian
ketika dihubungi, semalam.
Anthony berkata, sejurus selepas suspek diberkas, berlaku pergelutan
antara lelaki terbabit dan sekumpulan orang ramai berikutan suspek
bertindak agresif untuk melepaskan diri.
Menurutnya, insiden itu segera dimaklumkan kepada sepasukan anggota
pasukan sukarelawan Bagan Serai yang kemudiannya membantu membawa suspek
ke balai polis.
“Tindakan agresif suspek membawa padah apabila orang ramai yang berang dengan sikapnya bertindak membelasahnya.
“Hanya setelah suspek tidak lagi agresif, barulah dia diserahkan kepada anggota keselamatan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Anthony berkata, dia kemudiannya terkejut selepas dimaklumkan bahawa
senjata digunakan suspek untuk mengugutnya itu hanyalah pistol mainan.
Susulan kejadian tersebut, Anthony membuat laporan di Balai Polis
Bagan Serai dan suspek serta motosikal dinaikinya diserahkan kepada
polis untuk siasatan lanjut. – Sinar Harian
No comments
Post a Comment