MENURUT Havocscope, badan pemantau pasaran gelap
atas talian dunia, pasaran gelap Malaysia dianggarkan bernilai RM9.74
bilion (US$2.99 bilion).
Laman sesawang tersebut, yang bersumberkan dokumen terbuka yang
dipercayai seperti dokumen kerajaan, laporan media dan jurnal akademik,
meletakkan Malaysia di kedudukan ke-40 daripada 93 negara yang dipantau,
berdasarkan anggaran ancaman keselamatan akibat pasaran gelap.
Pasaran gelap dunia dianggarkan bernilai RM5.8 trilion. Angka
tersebut berdasarkan data yang dikumpul selama beberapa tahun bagi
memberikan gambaran terhadap industri pasaran gelap.
Di Malaysia, pasaran gelap dikuasai kegiatan pelacuran yang
dianggarkan membawa pulangan RM3.2 bilion. Angka tersebut berdasarkan
jumlah yang mampu dibawa pulang pelacur-pelacur warga asing yang
berdagang tubuh mereka.
Malaysia diletakkan di tangga ke-17 daripada 26 negara yang mengaut pulangan besar dari sindeket tersebut.
Negara ini berada di atas Belanda (di mana pelacuran bermula) dan negara-negara lain termasuk Russia dan Jamaica.
Anehnya, Malaysia tidak tersenarai di antara 29 negara dengan
bilangan pedagang tubuh tertinggi. Ini bermakna, Malaysia menjadi lubuk
bagi pelacur-pelacurwarga asing membuat keuntungan.
Di kedudukan kedua di dalam senarai pasaran gelap ialah sindiket wang
palsu dengan pulangan bernilai RM2.51 bilion. Sindiket cetak rompak
pula di kedudukan ketiga dengan menghasilkan RM2.14 bilion
Mungkin rakyat tempatan tidak terkejut dengan senarai tersebut kerana penjual barangan cetak rompak berada di mana-mana.
Perikanan serta pembalakan haram pula berada di kedudukan seterusnya
dengan masing-masing mengaut RM1.08 bilion dan RM915 juta. Arak serta
rokok seludup pula menghasilkan jumlah terkumpul sebanyak RM1.52 bilion.
Laman sesawang tersebut bertujuan memberi data yang jelas dan bermanfaat berhubung kegiatan pasaran gelap.
Ia menyatakan bahawa berbilion ringgit disalurkan bagi membasmi
kegiatan tersebut, namun fakta berkenaan aktiviti pasaran gelap tidak
mencerminkan keadaan sebenar. Malah fakta tersebut digunakan bagi
mempromosi sesuatu agenda tertentu.
Sumber-sumber bagi angka yang didedahkan dijelaskan di dalam laman
sesawang itu bagi pengguna-pengguna memperoleh maklumat mengenainya
serta meyelidik kredibilitinya.
Havocscope mengamalkan dasar berkecuali di dalam isu pasaran gelap.
Ia tidak memberi apa-apa cadangan bagi mengubah kegiatan tersebut.
Statistik yang disenaraikannya kerap digunakan di dalam jurnal-jurnal serta laporan media di serata dunia.
Statistik tersebut tentu tidak membantu Malaysia di dalam usahanya mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014.
Penyeludup serta penjenayah juga amat berhati-hati supaya kegiatan mereka tidak dapat dihidu pihak berkuasa.
Kadang-kala, pihak berkuasa sedar tentang kegiatan yang dijalankan
tetapi mengambil sikap ‘tutup sebelah mata’ dan membiarkan penjenayah
serta penyeludup ini menjalankan ‘perniagaan’ mereka.
Apa-apapun, di dalam era informasi ini, pihak berkuasa wajar
mempertingkatkan usaha mereka bagi membasmi kegiatan pasaran gelap
negara dengan berpandukan segala jenis maklumat.
Kegagalan melakukannya bermakna Malaysia bakal kehilangan pelabur
serta pelancong-pelancong asing yang membawa bersama mereka berbilion
ringgit setahun. – The Ant Daily
No comments
Post a Comment