KOTA KINABALU: Misteri kehilangan seorang pemandu Perodua Viva yang
terlibat dalam satu insiden kemalangan berhampiran lampu trafik Sutera
Harbour, di sini, pada Selasa lepas akhirnya terjawab dengan penemuan
mayat berulat dalam keadaan terlentang di parit Grace Court, Jalan
Coastal, kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Nelson Thien Hua Keong,
33, ditemui dalam parit sedalam dua meter oleh pekerja memasang kabel
di lokasi itu sebelum melaporkannya kepada pihak polis kira-kira jam 11
pagi.
Dikatakan mangsa terlibat dalam kemalangan pada Selasa lepas
kira-kira jam 2 pagi dengan memandu kenderaan berkenaan bersama seorang
rakannya dan tidak ditemui sejak insiden terbabit.
Ketua Polis
Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, mangsa dilaporkan
hilang sejak insiden kemalangan itu dan usaha pencarian oleh keluarga
mangsa turut dilakukan termasuk memeriksa senarai pendaftaran pesakit di
hospital-hospital sekitar kawasan Kota Kinabalu.
“Bagaimanapun,
mayat mangsa ditemui di dalam parit berkenaan dan identitinya turut
disahkan melalui proses pengecaman oleh ahli keluarga di tempat
kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi bedah siasat serta tuntutan ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata, mangsa sukar dikesan berikutan faktor hujan lebat dan banjir di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu tempoh hari.
Jauteh berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu untuk tampil segera membantu siasatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
No comments
Post a Comment