SUTHEP (tengah) mengadakan perbincangan dengan Luang Pu (kiri) bagi meredakan kemarahan pemimpin sami itu.
|
Bangkok: Pemimpin tunjuk perasaan antikerajaan Suthep Thaugsuban semalam mencetuskan kemarahan sami Buddha selepas dia memungkiri janji untuk melawat semua pusat protes di Bangkok.
Di sebalik janji itu Suthep membatalkan lawatan ke dua lokasi atas alasan ia terletak terlalu jauh dari pusat bandar raya.
Keputusannya mengecewakan ketua sami Wat Or Noi, Luang Pu, dari wilayah Nakhon Pathom yang mengendalikan dua stesen protes itu di Chaeng Wattana.
Disebabkan berang dengan sikap Suthep, Luang Pu mengancam untuk mengakhiri protes berkenaan.
“Sudahlah saya terpaksa mengendalikan segala-galanya di lokasi ini, memang melampau jika Suthep tidak datang,” katanya.
Luang Pu berkata, Suthep menyisihkan lokasi itu kerana tidak menganggapnya penting. Ini berikutan Suthep sudah melawat semua pentas demonstrasi utama sejak melancarkan kempen untuk ‘tutup’ Bangkok Isnin lalu dalam usahanya menggulingkan perdana menteri sementara Yingluck Shinawatra.
Sehubungan itu, Suthep memendekkan tempoh lawatannya di pusat protes di Lat Phrao untuk menemui Luang Pu bagi mengambil hati sami itu semula.
Jurucakapnya berkata, Suthep memohon maaf atas kesilapannya.
Luang Pu berkata, Suthep sudah berjanji untuk melawat mereka seperti sepatutnya.- Agensi
No comments
Post a Comment