Bagi peminat-peminat tegar filem tempatan, pasti cukup mengingati dua filem ‘pecah pangggung’ sekitar 90-an, Sembilu dan Sembilu 2 yang pernah melakar sejarah kutipan tertinggi filem Melayu sebanyak RM4.2 juta dan RM6.1 juta masing-masing.
Filem arahan pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam yang mengisahkan kisah percintaan tiga segi, penuh konflik dan dendam itu telah mencipta fenomena di kalangan khalayak filem Melayu dan seni popular ketika itu.
Bagaimanapun kerinduan peminat-peminat Awie, Wati (Erra Fazira) dan Ziana Zain selama lebih dua dekad bakal terubat apabila ketiga-tiga bintang utama filem berkenaan akan bergandingan dalam satu konsert istimewa diberi nama Konsert Teaterikal Suara Kita.
Rasa keterujaan yang tinggi bukan sahaja akan dirasai para peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan konsert tersebut (3 hingga 9 Mac), malahan bagi Erra juga – heroin dalam filem-filem Melayu hebat itu.
Menurut aktres yang terkenal dengan jolokan Primadona filem Melayu dekad 1990-an ini, beliau tidak pernah membayangkan yang mereka bertiga akan bergandingan semula. Namun beliau amat bersemangat untuk mengembalikan nostalgia peminat terhadap filem tersebut. Lebih-lebih lagi gandingan kali ini akan mengambil tempat di pentas Istana Budaya.
Begitu pun Erra tidak menafikan yang dia juga berasa gusar lebih-lebih lagi apabila dia perlu membuat persembahan nyanyian dalam tempoh yang panjang. Erra akan menyanyikan lagu OST dari sedutan filem popular lakonannya seperti Yang Terindah Hanya Sementara, Pasrah dan Pertemuan.
“Kegusaran pertama dah saya terlerai apabila piha-pihak yang saya perlu jaga hati mereka telah memberi restu untuk saya, Awie dan Ziana dalam merealisasikan konsert ini.
“Tapi timbul kegusaran saya yang kedua, saya kena jadi penyanyi semula. Bergandingan pula dengan dua lagenda ni. Sebabnya saya dah lama tak menyanyi. Memang kadang-kadang saya ada buat persembahan nyanyian tapi tak bukanlah untuk konsert yang besar sebegini. Dengan masa saya yang terhad tapi saya rasa kalau dapat latihan yang cukup, semua itu tak akan jadi masalah”, katanya ketika ditemui pada sidang media konsert tersebut di Istana Budaya, semalam.
Dalam pada itu, Erra juga menyatakan dia tidak mempunyai masalah untuk berlakon dengan Awie terutamanya dalam melakonkan semula babak-babak romantis. Malah dia menantikan untuk melakonkan semula adegan masterpiece filem Sembilu iaitu babak di mana Wati menampar Awie.
“Kami berdua sudah cukup matang dan profesional. Tiada masalah untuk saya dan Awie berlakon bersama. Saat dia buka mulut menyatakan idea projek ni, saya tak ambil masa yang panjang untuk beri kata setuju. Apa yang kami buat ini untuk peminat-peminat. Kita nak kembalikan semula nostalgia mereka.
“Bezanya, kalau dulu Wati seorang remaja. Sekarang ni Wati dah tak berapa remaja (gelak).
“Saya rasa semua orang ingat babak Wati tampar Awie tu. Saya tak sabar nak lakonkan babak itu. Kita ada beritahu pengarah, Eirma Fatima, untuk selitkan babak itu dan beberapa babak lain yang memang peminat nanti-nantikan”, katanya sebelum mengakhiri perbualan. – Malaysian Digest
No comments
Post a Comment