Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » Pengalaman Pertama Mendaki Gunung Trusmadi
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

PEMANDANGAN indah puncak Kinabalu dari puncak Gunung Trusmadi.

Pemandangan matahari terbit di celah gunung lain berhampiran Gunung Kinabalu memberi panorama indah sukar digambarkan dengan kata-kata.

Lebih indah, cuaca baik tanpa kabus meliputi gunung tertinggi di Asia Tenggara itu membuktikan hebatnya ciptaan Allah SWT. 

Ini kali pertama penulis mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Trusmadi di Keningau, Sabah. Ia terletak kira-kira dua jam perjalanan dari bandar itu.

Gunung Trusmadi, setinggi 2,642 meter adalah gunung kedua tertinggi di negara ini. Jarak perjalanan dari Kampung Sinua ke puncak itu sejauh 12 kilometer (km)
Ternyata untuk mendaki Gunung Trusmadi bukannya sesuatu yang mudah kerana pada 6 Januari lalu, penulis bersama 17 peserta Ekspedisi KE7B FELDA Greenland 2014 diuji dengan kekuatan mental dan fizikal.

Kira-kira jam 9 pagi, kami memulakan perjalanan melalui kawasan kebun sayuran sejauh enam kilometer dan menemui sebatang anak sungai sebelum pintu kaki Gunung Trusmadi menyambut kehadiran kami.

Salah seorang peserta ekspedisi memberitahu, ekspedisi perjalanan dari kaki gunung ke Kem 2 iaitu lokasi bermalam sejauh dua kilometer saja.

Justeru, penulis merasakan perjalanan itu tidak mengambil masa lama memandangkan jarak hanya dua kilometer. Namun, sangkaan itu jauh meleset kerana laluan dua kilometer itu bukan semudah disangka.

Laluan mencanak dan kadang kala terpaksa berhenti seketika untuk berehat selain laluan permatang yang pendek cukup meletihkan.

Sesekali kami berhenti berehat di beberapa lokasi yang mempunyai sumber air segar dari anak sungai berdekatan.

Sepanjang perjalanan, kami terpaksa berperang dengan pacat yang agak besar dan sentiasa mencari peluang untuk menghisap darah. Gigitannnya memang terasa.

Belum sempat tiba di Kem 2, kami basah kuyup ditimpa hujan lebat. Perjalanan dalam hujan dan situasi pendakian mencanak adalah cabaran awal kepada kami ke lokasi perkhemahan.

Di Kem 2, hujan masih lebat dan semua peserta memasang ‘flayer’ dan ‘ground’ secepat mungkin untuk bermalam.

Cuaca agak sejuk dan kami memasak secara ringkas sekadar mengisi perut dan menambah tenaga.

Pengalaman penulis bermalam dengan kumpulan peserta ekspedisi Greenland memberi banyak ruang berkongsi pengalaman dengan mereka mengenai dunia pendakian.

Ini kerana mereka mempunyai latar belakang sukan luar seperti memanjat dinding batu, gunung di dalam dan luar negara.

Usai berbual panjang dan mendengar taklimat untuk menyambung kembali perjalanan ke puncak Trusmadi, kami perlu tidur untuk memulakan pendakian jam 1 pagi.

Dari Kem 2 ke Puncak Trusmadi, jarak perjalanan kira-kira empat kilometer. Dalam cuaca sejuk, kami perlu menyesuaikan diri dan memanaskan badan secepat mungkin.

Laluan ke puncak bukan mudah. Walaupun tiada gangguan pacat, kami menempuh halangan laluan berlumpur menyebab­kan pergerakan agak perlahan apatah lagi dengan laluan mencanak.

Malah, ada ketikanya penulis terpaksa merangkak kerana banyak pokok balak tumbang selain laluan berakar yang memerlukan kami berhati-hati bergerak dalam kegelapan malam.

Hampir dua jam perjalanan, penulis rasa mengantuk kerana kekurangan oksigen, tetapi bantuan rakan-rakan membolehkan penulis meneruskan perjalanan.

Sekitar jam 6 pagi, kami tiba di puncak Gunung Trusmadi. Ketika itu, matahari sudah memancarkan cahayanya dan panorama amat indah dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

Dari kejauhan, penulis dapat melihat Gunung Kinabalu dan gunung lain megah berdiri. Kepuasan memang terasa dan membayar rasa kepenatan yang dilalui sebelum ini.

Kami menyanyikan Lagu Jalur Gemilang bagi membakar semangat dan kecintaan kepada negara.

Puas merakam detik kejayaan menawan Trusmadi, kami memulakan perjalanan turun ke Kem 2.

Perjalanan turun agak menarik dengan pelbagai pohon periuk kera bersaiz gergasi selain lumut hijau yang masih basah dek air embun.

Cuma, ketika melalui trek yang berlumpur, perjalanan agak kurang menarik kerana pergerakan menjadi perlahan dan perlu berhati-hati dengan laluan yang curam.

Kami tiba di kaki Gunung Trusmadi kira-kira jam 4 petang.

Sememangnya setiap puncak gunung punyai cerita dan keindahannya tersendiri, begitu juga dengan Trusmadi.

Setiap pendakian adalah latihan bagi membunuh ego manusia.


Usung beban 80kg sejauh 6km

Tujuh penjelajah utama Ekspedisi KE7B Felda Greenland 2014 diumumkan dua minggu lalu. Namun, ramai belum tahu kisah perjalanan mereka menyahut cabaran itu April ini.

Penulis berpeluang menyertai latihan memilih tujuh daripada 17 pendaki terbaik di Sabah, baru-baru ini .

Semua 17 calon peserta Ekspedisi KE7B Felda Greenland 2014 mendaki Gunung Kinabalu pada 3 Januari.

Antara latihan yang diberikan ialah membawa pengusung pesakit dengan beban kira-kira 80 kilogram (kg) sejauh enam kilometer dari Laban Rata hingga ke pintu masuk Timpohon.

Selepas menakluki Gunung Kinabalu, latihan diteruskan ke tapak perkhemahan Gunung Tambayukon, Ranau untuk mendaki gunung berkenaan esoknya.

Namun, nasib tidak menyebelahi kami apabila laluan ke kawasan itu ditenggelami air dan aktiviti mendaki gunung setinggi 2,579 meter itu terpaksa dibatalkan.

Pagi 5 Januari, 17 peserta berehat di Kolam Air Panas, Taman Negara Kinabalu dan dua nama penjelajah utama diumumkan Pengerusi Kelab Ekspedisi 7 Benua (KE7B), Muhamad Muqharabbin Mokhtarruddin.

Mereka ialah Yanizam Mohamad Supiah, 29, dan Muhamad Shaiful Hisyam Abdul Aziz, 25, yang juga anak FELDA.

Pada 6 Januari, 17 calon peserta memulakan aktiviti pendakian di Gunung Trusmadi, Keningau.

Kami ke Kampung Sinua iaitu lokasi tapak perkhemahan pertama sebelum mendaki sejauh 12 kilometer.

Nampaknya, mendaki gunung kedua tertinggi di Malaysia ini bukan mudah.

Kami berhenti bermalam di tapak perkhemahan dan meneruskan perjalanan empat kilometer terakhir jam 1 pagi esoknya.

Laluan sepanjang empat kilometer terakhir itu amat menguji kesabaran kerana laluan agak mencanak ‘diserikan’ dengan laluan berlumpur serta cuaca dingin.

Tanggal 7 Januari 2013, peserta selamat tiba di puncak Trusmadi kira-kira jam 6 pagi.

Di puncak gunung Trusmadi, pemandangannya cukup indah dengan gambaran Gunung Kinabalu tersergam di kelilingi gunung ganang di sekitarnya.

Sekembalinya di Kuala Lumpur pada 10 Januari lalu, lima nama penjelajah lain diumumkan Muqharabbin selepas mereka melalui satu lagi ujian kecerdasan iaitu larian 2.4 kilometer mengikut masa yang ditetapkan.

Lima penjelajah itu ialah Akasyah Jamaludin, 25, Tahira Najmunisaa Mohd Zaid, 25, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 34, Abdul Rahman Abu Hassan, 31, dan Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 32.

Muqharabbin berkata, pemilihan tujuh penjelajah itu berdasarkan kemampuan mereka dalam ujian kecerdasan fizikal dan mental selain semangat berpasukan.

“Apa yang penting matlamat penjelajahan ini adalah untuk mendidik jiwa generasi muda mengagungkan kebesaran Allah SWT.

“Ia juga memupuk jati diri manusia yang baik dari pelbagai sudut selain membangunkan modal insan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, latihan tujuh penjelajah ini akan diteruskan mengikuti kursus asas ekspedisi kutub di Fox Glasier iaitu sekitar Aspiring National Park, New Zealand bermula 3 hingga 15 Februari ini.

Ia turut disertai kru sokongan Faherina Mohd Esa, Ahmad Mustapa dan Muhammad Musaddiq Samsudin.

“Dalam latihan di New Zealand, mereka akan mengikuti latihan asas ski dan pola bagi membolehkan penjelajah dan kru sokongan mengetahui teknik penting menggunakan ski dan membiasakan diri dengan cuaca sejuk.

“Selain itu, semua yang terbabit dalam ekspedisi ini akan mengikuti latihan di Norway dan Nepal secara berperingkat selepas mengikuti latihan di New Zealand,” katanya.

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments