MEMANG bertuah sungguh Ziana Zain mempunyai anak lelaki yang
benar-benar sayangkan ibunya sehingga meminta penyanyi dan pelakon itu
mengenakan hijab serta menutup aurat.
Muhammad Aiman, 14, yang kini bersekolah di Sekolah Agama Menengah
Muhammadiah Pekan Sabak, Sabak Bernam, Selangor turut menyuarakan agar
Ziana memakai hijab jika mahu melawatnya di sekolah, memetik laporan GUA.
“Aiman memang pernah menyuruh saya memakai tudung. Dia tanya;
‘bila Mama nak pakai tudung’? Terkejut juga apabila dia suarakan
perkara itu. Tapi, saya jelaskan kepadanya, jika saya mengambil
keputusan untuk bertudung, biarlah ia datang dari hati dan ikhlas. Bukan
kerana terpaksa. Jadi dia faham. Namun sempat juga ingatkan yang kita
tidak tahu tentang tarikh kematian kita.
Pesan Aiman lagi, kena tutup aurat sebab berdosa kalau tidak
buat. Pernah sekali dia menemani saya membeli kuih. Waktu itu dia
memakai pakaian sekolah dan saya memakai skirt. Aiman cepat-cepat tutup
lencana sekolahnya kerana tidak mahu orang tahu dia bersekolah di mana,” ujar Ziana.
Mengakui bahawa Aiman sudah beberapa kali menegurnya, dia tidak
pernah memarahinya sebaliknya bersyukur kerana yakin anaknya itu akan
dapat membimbing adik-adiknya suatu hari nanti.
Kami harapkan suatu hari nanti hati Ziana akan terbuka untuk berhijab dan diharap agar peminat juga mendoakan yang sama.
No comments
Post a Comment