Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » Kompleks Johan Cruyff Bakal Menjadi Satu Lagi Mercu Tanda Kampung Baru
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post


KUALA LUMPUR, (Bernama) — Kampung Baru, sebuah kawasan Melayu yang terus terpelihara di tengah-tengah kawasan “Segi Tiga Emas” Kuala Lumpur, akan mendapat “sentuhan” Johan Cruyff melalui pembinaan sebuah kompleks sukan dan rekreasi yang mengambil sempena nama lagenda bola sepak Belanda itu.
Lebih dikenali sebagai Cruyff Court, kemudahan ini adalah yang ketiga dibina di negara ini oleh Khazanah Nasional Berhad sebagai inisiatif utama tanggungjawab korporatnya dengan kerjasama Johan Cruyff Foundation.
Cruyff Court pertama di Malaysia dibina di Kampung Majidee, Johor Baharu, manakala yang kedua terletak di Brickfields, di sini.
Naharudin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, agensi yang mengemudi pembangunan semula kawasan itu secara besar-besaran, berkata pemilihan Kampung Baru sebagai lokasi terbaru Cruyff Court merupakan berita yang amat dialu-alukan kira-kira 18,000 penduduk kampung berkenaan, yang mengimpikan pembinaan kompleks tersebut sejak sekian lama.
“Bagi pihak mereka semua, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Khazanah Nasional. Cruyff Court ini akan menjadi pemangkin bagi usaha pembangunan semula Kampung Baru oleh perbadanan tersebut,” katanya kepada penulis.
Program Cruyff Court yang terkenal di dunia, antara lain, menyediakan padang permainan di kawasan bandar untuk kanak-kanak dan belia daripada golongan berpendapatan rendah dan memerlukan bantuan, bukan sahaja sebagai tempat untuk melakukan aktiviti keceriaan, tetapi juga sebagai peluang untuk memajukan diri dalam bidang sukan dan kehidupan.
Di Asia, Malaysia adalah negara kedua selepas Jepun yang mempunyai Cruyff Court. Pada keseluruhannya, terdapat 177 Cruyff Court di seluruh dunia.
Johan Cruyff Foundation ditubuhkan pada 1997 bagi tujuan menambah baik kehidupan kanak-kanak di seluruh dunia melalui sukan, dengan tumpuan khas diberi terhadap kanak-kanak yang memerlukan bantuan khusus serta golongan muda yang kurang bernasib baik.
Johan Cruyff adalah seorang daripada segelintir ahli sukan berpengaruh paling awal di Belanda yang mengabadikan nama mereka melalui penubuhan yayasan.
Naharudin berkata bagi Kampung Baru, kewujudan Cruyff Court merupakan suatu nilai tambah kerana ia bukan sahaja akan memberi kemudahan kepada generasi muda yang aktif, tetapi juga sebagai tempat untuk mencungkil dan melahirkan bakat terbilang dalam bidang sukan.
“Secara umumnya, kompleks ini merupakan suatu tempat khas di mana pelbagai kumpulan boleh melakukan kegiatan sosial. Lebih kurang 60 peratus penduduk Kampung Baru tergolong dalam kelompok yang amat aktif daripada kalangan mereka yang berusia 30-40 tahun. Mereka daripada kumpulan usia lebih tua pula boleh menggunakan kemudahan yang terdapat di situ untuk berjoging, berjalan dan melakukan kegiatan rekreasi lain,” katanya.
Kompleks ini juga akan dilengkapi kemudahan lain seperti bilik mesyuarat, tempat untuk mengadakan perjumpaan sosial dan kegiatan bersama keluarga, kecuali untuk mengadakan majlis kenduri.
“Kami mengambil inisiatif menjadikan kompleks ini sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Kampung Baru sebuah bandar di dalam bandar raya melalui penyertaan penduduk. Di samping itu, penduduk di sekitar Kampung Baru seperti Keramat, Jalan Semarak, Universiti Teknologi Malaysia dan tempat lain juga boleh menggunakan kemudahan ini mengikut jadual.
“Pusat rekreasi ini akan melonjakkan lagi reputasi Kampung Baru sebagai syurga untuk menjamu selera yang menghidangkan beraneka jenis makanan lazat sepanjang masa dan sebagai kawasan yang tidak pernah tidur. Sesiapa yang ingin mencari sebuah kampung di tengah-tengah bandar raya, inilah tempatnya. Tempat ini juga merupakan satu lagi tarikan bagi pelancong,” kata Naharudin.
Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 11 rumah tradisional Melayu di Kampung Baru dipelihara sebagai harta warisan, manakala keseluruhan penampilan dan kebersihan kawasannya juga sedang melalui penambahbaikan secara besar-besaran.
Nota: Datuk Seri Azman Ujang adalah bekas Pengurus Besar dan bekas Ketua Pengarang Bernama

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments