DI sebalik kehangatan acara Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) yang
berlangsung di di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada Jumaat
lalu, kehadiran pasangan sensasi, Johan As’ari dan Lana Nodin pastinya
lebih mencuri tumpuan ramai.
Ia berpunca daripada kenyataan yang dibuat oleh Johan yang ingin
menyunting pelakon seksi itu sebagai isteri selepas tiga hari berkenalan
dengan lebih akrab.
Menyedari kedua-duanya menjadi tumpuan, terutamanya para wartawan
yang sedang membuat liputan majlis tersebut, pujian wajar diberikan
kepada Johan dan Lana kerana sudi meluangkan masa untuk ditemu bual dan
melayan dengan baik setiap pertanyaan daripada wartawan.
Johan, 26, yang diajukan pertanyaan mengenai ‘drama’ terbaharu yang
dicetuskannya itu menjelaskan, segala keputusan yang dibuat adalah
disebabkan dirinya yang sudah jatuh cinta dengan pelakon yang mula
dikenali menerusi drama bersiri Astana Idaman 3 itu.
“Semuanya bermula apabila saya membaca artikel dalam sebuah majalah
hiburan mengenai Lana yang ingin mencari seorang suami beriman. Kemudian
ditakdirkan kami telah bertemu dalam sebuah majlis hiburan pada 18
November lalu.
“Sebelum itu, kami memang tidak pernah berjumpa dan saya cuma
mengenali dirinya sebagai seorang pelakon. Bagaimanapun, sewaktu
pertemuan itu saya akui sudah jatuh cinta pandang pertama kepadanya,”
ujar pelakon yang cukup popular dengan watak Botak dalam drama bersiri
Juvana itu.
Bercerita lebih lanjut mengenai perhubungan yang terjalin, Johan
memberitahu, ketika majlis tersebut mereka sempat bertukar nombor
telefon. Kemudian, pada sebelah malamnya pula mereka mengaturkan
pertemuan bertemu di sebuah pusat beli- belah terkenal.
Ujarnya, dalam pertemuan itu banyak perkara yang dibualkan,
termasuklah luahan hati Lana yang memberitahu ingin membuat perubahan
terhadap dirinya.
Johan pula mengakui, dia banyak memberikan kata-kata nasihat buat wanita itu.
“Keesokan harinya kami bertemu sekali lagi dan saya berasa cukup
selesa sepanjang bersama dengan dirinya. Mulai saat itu, saya sudah
tetapkan pendirian bahawa dia merupakan gadis yang saya cari untuk
dijadikan sebagai isteri.
“Justeru, pada hari ketiga saya terus melamar Lana dan meluahkan isi
hati saya untuk memilihnya sebagai isteri. Mulanya dia memang agak
terkejut tetapi tidak sangka pula dia menerima lamaran saya itu,”
ujarnya.
Ketika ditanya mengenai maklum balas yang diterima daripada ahli
keluarganya pula, Johan menyatakan, setakat ini kedua-dua ibu bapanya
sekadar berpesan supaya masing-masing saling kenal-mengenal terlebih
dahulu sebelum mengambil langkah yang lebih serius.
Selain itu, pelakon berkenaan turut menafikan bahawa ibunya meluahkan
rasa terlalu kecewa sehingga memuat naik gambar di laman sosial
Instagram seperti yang tersebar di internet.
“Mengenai perkara tersebut ia merupakan salah faham kerana ibu saya
memuat naik gambar itu kerana berasa sedih apabila salah seorang saudara
terdekat kami telah meninggal dunia,” jelasnya.
Berkenaan dengan keputusan untuk mendirikan rumah tangga pula, Johan
memberitahu, buat masa ini masih belum ada tarikh tertentu lagi, namun
berharap ia dapat dilangsungkan segera memandangkan usianya yang kini
sudah menjangkau 26 tahun.
“Insya-Allah, sekarang kami mengharapkan doa yang terbaik agar
hubungan ini terus berkekalan. Paling utama, sebagai seorang lelaki saya
perlu menunjukkan contoh yang baik kepada Lana.
“Lagipun, saya cukup gembira melihat banyak perubahan terhadap diri
Lana terutama sekali penampilan dirinya sekarang. Misalnya, dia ikut
permintaan saya supaya tidak memakai skirt apabila kami keluar bersama,”
ujarnya.
Menurutnya, buat masa ini dia dan Lana perlu kuat mengharungi segala
cabaran yang mendatang, terutamanya untuk mengambil hati keluarga
masing-masing agar hubungan yang akan dibina mendapat restu.
Tidak bercinta
Memandangkan sebelum ini dia pernah dikaitkan dengan Shila Amzah
sehingga ada yang beranggapan mereka bercinta, Johan menegaskan,
hubungannya dengan penyanyi itu tidak pernah lebih daripada seorang
sahabat.
Jelasnya, sepanjang perkenalan dengan penyanyi tersebut, mereka
langsung tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan cinta dan disebabkan
itu tidak perlu timbul sebarang isu apabila dia memilih Lana sebagai
isteri.
“Selama ini, saya atau Shila tidak pernah cakap yang kami ini
bercinta kepada mana-mana pihak. Jadi, janganlah salahkan Lana sehingga
melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya.
“Kalau ada sebarang tuduhan negatif yang dilemparkan terhadap saya
atau Lana, kami memang tidak boleh berbuat apa-apa. Apa yang jelas, saya
bebas untuk memilih sesiapa sahaja wanita yang ingin dijadikan teman
hidup,” tegasnya.
Mengenai tindakan Shila yang telah memadam gambar mereka berdua serta
mengeluarkan namanya daripada senarai rakan di akaun Instagram, Johan
menyatakan, itu adalah hak penyanyi tersebut untuk berbuat demikian.
“Saya ada terdengar cerita tentang tindakan Shila yang meluahkan
kekecewaannya menerusi Instagram miliknya. Apa yang boleh saya katakan,
saya masih lagi terus menganggapnya sebagai seorang sahabat,” luahnya.
Cinta selepas kahwin
Turut menemani kekasih hati semasa ditemu bual wartawan, pelakon Lana
Nodin berkata, pada usia yang sudah mencecah 34 tahun, dia memang ingin
mencari seorang lelaki yang mampu membimbingnya ke arah kebaikan.
Selain itu, pendirian Johan yang menyatakan hasratnya untuk bercinta
selepas kahwin menyebabkan dia tertarik dan lantas bersetuju apabila
pelakon tersebut melamarnya sebagai isteri.
“Pada mulanya, saya ada bertanya Johan sama ada dia mempunyai kekasih
atau tidak sekarang memandangkan saya pernah terdengar cerita yang
mengatakan dia bercinta dengan Shila Amzah.
Kemudian, dia (Johan) memberitahu yang dia dan Shila tidak pernah
bercinta dan untuk membuktikan kata- katanya itu dia terus menghubungi
ibu Shila. Saya sendiri dengar setiap butir perbualan mereka dan itu
yang membuat saya percaya sepenuhnya kepada Johan,” jelasnya.
Mengenai tuduhan yang dilemparkan dengan mengatakan dirinya mahu
berubah semata-mata kerana Johan, pelakon itu berkata, segala perubahan
yang ingin dilakukannya itu adalah hasrat yang lahir dari dalam dirinya
sendiri tanpa pengaruh sesiapa.
Bagaimanapun, Johan memang banyak memberikan sokongan dan tidak
pernah memaksanya untuk berubah secara drastik. Dia juga menasihati Lana
agar perubahan yang ingin dilakukan itu perlu dilakukan secara
berperingkat.
“Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang akan
bertudung kerana Johan. Sekalipun saya akan bertudung nanti, semuanya
atas kehendak dan kerelaan diri sendiri.
“Secara jujurnya, saya amat terharu kerana masih ada lelaki yang baik
seperti Johan, ikhlas menerima diri saya seadanya, meskipun banyak
keburukan yang pernah dilakukan dahulu. Sekarang ini saya mampu doakan
yang terbaik agar perhubungan ini terus berkekalan,” jelasnya mengakhiri
temu bual.
No comments
Post a Comment