EKORAN fitnah yang diterima bertubi-tubi tanpa henti, pelakon
Sharnaaz Ahmad, 26, telah membuat keputusan nekad untuk bersara daripada
dunia hiburan dan meneruskan kehidupan dengan pekerjaannya sebelum ini.
Tindakannya itu kata Sharnaaz dibuat demi membahagiakan individu lain
yang enggan melihatnya berada di pentas seni, selain ingin menjaga hati
keluarganya daripada terus dilukai.
Kesempatan bertemu pelakon itu sempena majlis pelancaran drama
bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta gandingannya bersama pelakon jelita,
Nelydia Senrose di Hotel Best Western Premier, Kuala Lumpur baru-baru
ini, Kosmo! segera mendapatkan kepastian lanjut mengenai hal tersebut.
Sharnaaz turut mengulas perkembangan kisah bekas kekasihnya, Shila
Amzah yang telah berpisah dengan Johan As’ari baru-baru ini. Ikuti
sedutan temu bual tersebut.
Kosmo!: Keputusan Sharnaaz untuk bersara daripada dunia seni
mengejutkan ramai. Adakah anda terkilan dengan tindakan itu memandangkan
anda masih muda dan hijau dalam industri dan berbakat besar?
SHARNAAZ: Saya sangat terkilan sebab saya sangat sayangkan karier
lakonan saya. Ada juga beberapa pengarah dan produser yang memujuk saya
tapi saya sudah tidak mampu bertahan dengan fitnah dan cacian tanpa
henti. Selama ini saya berdiam diri tapi sudah sampai masanya untuk saya
bertindak bagi menggembirakan hati pihak yang mahu saya berundur.
Apabila membuat keputusan itu, apakah reaksi pihak yang selama ini sering melemparkan kata-kata negatif terhadap anda?
Saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Selama ini, saya duduk diam
pun tetap kena hentam. Namun, selepas saya memberitahu akan berundur pun
tetap saya kena maki.
Apakah reaksi keluarga anda apabila mengumumkan untuk bersara?
Mereka menyokong tindakan saya dan mereka mengenali saya sejak
daripada kecil. Malah, saya tidak pernah berbohong dengan kedua-dua ibu
bapa saya. Asalkan jangan sentuh (libatkan) keluarga saya, itu sudah
memadai. Cukuplah mengutuk saya seorang. Saya tidak mahu mulakan perang!
Adakah drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta adalah lakonan terakhir anda?
Saya masih dalam perbincangan dengan produksi drama bersiri Cinta
Ramadan yang sepatutnya membabitkan saya bersama Elfaeza Ul-Haq. Saya
telah berjanji untuk terbabit dalam penggambaran siri terbaharu drama
itu, biarpun mereka tidak memaksa tapi rasa kurang manis pula kalau saya
tidak tepati janji saya. Keputusan ini pun perlu dibincangkan bersama
keluarga saya, kalau mereka tidak bersetuju pun susah juga nanti.
Ikutkan hati memang nak bersara.
Adakah anda sudah mempunyai perancangan lanjut sekiranya bersara daripada dunia seni kelak?
Saya akan kembali semula bekerja dalam bidang hartanah atau industri
minyak dan gas. Saya juga sedang berjinak-jinak dalam bidang sukan
permotoran dan insya-Allah akan menyertai Malaysian Super Sport Motor
Series tahun depan. Sekarang masih dalam proses pembelajaran sejak bulan
Ogos lalu. Alhamdulillah dari segi teori, kelajuan dan kedudukan badan
sudah boleh kuasai sedikit sebanyak.
Mengejutkan umum apabila hubungan mesra Johan As’ari dan Shila Amzah
putus di tengah jalan setelah Johan mengambil keputusan bakal berkahwin
dengan Lana Nodin. Apakah komen anda?
Saya tidak tahu, tidak mahu mengulas lanjut. Saya tidak mahu komen
apa-apa, mungkin hari ini hari dia, esok lusa mungkin hari saya. Jodoh
itu Tuhan tentukan. Saya tiada masalah dengan Johan, sebelum ini pun
saya pernah mengucapkan good luck untuk filem terbaharunya, Balada
Pencinta.
Melalui Twitter anda kelmarin, anda dilihat begitu marah dengan
menulis kata-kata yang kurang enak seperti mahu memukul orang yang masih
mengaitkan anda dengan kes Johan-Lana-Shila. Apa komen anda?
Memang saya yang menulis kenyataan tersebut. Tentang pernyataan
berbunyi ‘Hammer boleh berbicara’, itu bukan bermaksud saya nak pergi
pukul orang dengan tukul besi, sebaliknya ia adalah metafora kemarahan
saya kepada orang yang asyik mengaitkan saya dengan ‘cinta’ mereka.
Sebenarnya, saya tak marah pada Shila atau Johan, sebaliknya kepada
pihak yang cuba menjodohkan saya kembali dengan Shila. Saya mohon kepada
semua, beri saya peluang untuk mencari kebahagiaan sendiri dan henti
kaitkan saya dengan Shila.
No comments
Post a Comment