BATON ROUGE, Lousiana - Sekumpulan pemburu hantu yang sedang mengesan
kewujudan kelibat makhluk halus di sini ditangkap kerana membakar
sebuah bangunan bersejarah di negeri Louisiana baru-baru ini.
Seramai tujuh lelaki berusia antara 17 hingga 31 tahun telah
menyelinap masuk ke dalam bangunan LeBeau Plantation, Jumaat lalu, kata
polis.
Binaan bersejarah berusia lebih 100 tahun itu dianggap berhantu
ekoran banyak kejadian pelik yang pernah berlaku di kawasan tersebut.
"Kami semua pernah mendengar banyak cerita seram tentang tempat itu
sewaktu membesar di sini," kata ketua polis tempatan, Sherif Jimmy
Pohlman.
"Namun, pada masa yang sama, bangunan itu menjadi sarang penagih," tambahnya.
Menurut jurucakap sherif berkenaan, John Doran, pada hari kejadian
sekumpulan pencari hantu yang mabuk dan berada di bawah pengaruh dadah
memasuki bangunan itu.
"Mereka cuba menyeru makhluk halus dan puaka tempat tersebut dengan memukul lantai tetapi gagal," katanya.
"Kerana marah, mereka kemudian mula menyalakan api dan membakar bangunan tersebut," tambah jurucakap berkenaan. - Agensi
No comments
Post a Comment