KUALA LUMPUR – Suspek kes bunuh pegawai AmBank, Laode Ardina Laode
Rasila dipercayai membeli kad pengenalan palsu daripada seorang lelaki
warga Indonesia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pembelian kad
pengenalan palsu itu dibuat di Malaysia dan ia bukan kad pengenalan yang
dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Dia (suspek) mengaku membeli kad pengenalan itu dari seorang
lelaki warga Indonesia. Kita sedang menyiasat berkenaan dengan
penjualan kad pengenalan palsu.
“Ini kad pengenalan palsu, bukan kad yang dikeluarkan oleh
Jabatan Pendaftaran Negara dan suspek juga membeli kad pengenalan itu di
Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Pencegahan
Jenayah Dari Perspektif Islam di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini,
hari ini.
Sementara itu katanya, polis turut memburu seorang lagi rakan suspek
yang dikenali sebagai Joemar dipercayai menjadi dalang utama merancang
rompakan tersebut.
Menurut Khalid, rakan suspek itu juga dipercayai memiliki sebahagian besar wang hasil daripada rompakan itu.
Semalam, Laode Ardina diberkas oleh sepasukan anggota polis dari
Bukit Aman dalam Ops Cantas yang dijalankan Kampung Belungkor, Kota
Tinggi, Johor.
Suspek dipercayai terlibat dalam rompakan di sebuah cawangan Ambank,
USJ 2 Sentral pada 23 Oktober lepas menyebabkan seorang pegawai operasi
bank terbabit, Norazita Abu Talib maut terkena tembakan di kepala.
No comments
Post a Comment