PENGANTIN perempuan yang majlis perkahwinannya di
Sungai Petani, Kedah pada Sabtu lalu menyebabkan kematian empat orang
kerana keracunan makanan memohon maaf kepada semua yang terlibat atas
ketentuan yang berlaku.
Haslina Yusof berkata, beliau sedih dan terkilan dengan kejadian yang
menimpa sanak saudara dan tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan
itu.
Empat orang yang maut itu keracunan makanan selepas menikmati juadah
kenduri kahwin berkenaan termasuk sepupu Haslina sendiri, Norshazana
Mohd Rashid, 24, yang meninggal dunia di rumahnya di Sungai Petani.
“Saya tidak sangka boleh jadi begini,” katanya kepada wartawan .
Haslina, 23, merayu agar tidak ada mana-mana pihak yang menaruh syak wasangka dan memberi tanggapan serong terhadap keluarganya.
Katanya, beliau dan keluarga sudah cukup menanggung malu atas apa yang telah terjadi.
Mereka juga tidak berniat untuk menganiaya sesiapa apatah
lagi menaruh racun ke dalam makanan seperti yang ditohmah oleh
sesetengah pihak.
Sementara itu, bapa Haslina, Yusof Ahmad, 52, juga terkilan dan sedih
kerana tidak menyangka majlis perkahwinan pertama dalam keluarganya itu
bertukar jadi bencana.
“Saya sebagai tuan rumah nak minta maaf banyak-banyaklah berlaku pada
kenduri baru-baru ini. Saya pun tak sangka yang boleh jadi macam itu.
Saya panggil kawan-kawan untuk datang makan kenduri ini dengan iklhas,
tak ada niat nak buat jahat atau apa,” katanya.
Apa yang menyebabkan beliau lebih terkilan ialah antara mangsa
keracunan yang dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia itu adalah
saudara-maranya sendiri.
Yusof turut memaklumkan beliau dan ahli keluargnya juga cirit-birit
dan muntah-muntah dan ditahan di hospital selama tiga hari. Mereka hanya
dibenarkan pulang pada pagi Rabu.
Sementara itu, jenazah mangsa keempat, Wang Razali Yaacob,
56, selamat dikebumikan pada pagi Rabu di Tanah Perkuburan Masjid
Al-Atiq, Kampung Merbok, Sungai Petani.
Allahyarham meninggal dunia pukul 7.15 malam Selasa di
Hospital Sultan Abdul Halim setelah sakit perut dan muntah-muntah
selepas pulang dari majlis perkahwinan itu.
Dua lagi mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd. Nor Rahmat
Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut yang maut ketika mendapat rawatan
di Hospital Yan dan Ibrahim Mohammad, 62, dari Kampung Huma yang
meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Mereka dipercayai memakan ayam masak merah yang dimasak
secara gotong-royong oleh penduduk kampung pada majlis perkahwinan
berkenaan.
Dalam pada itu, polis masih menunggu laporan perubatan daripada
Jabatan Kesihatan Negeri Kedah yang mengumpulkan laporan berkenaan
daripada empat buah hospital daerah dan dijangka akan siap dalam masa
terdekat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Khalili Ariffin berkata, pihaknya
akan menjalankan siasatan menyeluruh selepas menerima laporan itu bagi
mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk melihat unsur khianat
atau kecuaian.
Setakat ini, 270 orang dilaporkan mendapatkan rawatan di hospital
kerana keracunan makanan daripada majlis kenduri kahwin itu. – ASTRO AWANI
No comments
Post a Comment