Saya pernah kehilangan sebuah komputer riba ketika makan berbuka puasa bersama rakan-rakan di sebuah restoran di pinggir bandar Kuala Lumpur.
Ketika itu pencuri itu melakukan kerja terkutuknya pada bulan Ramadhan.
Di Facebook, ada rakan laman sosial berkongsi video ini yang dilihat berlaku di sebuah medan selera. Saya rasa kejadian curi yang dipaparkan di sini lebih kurang sama seperti apa yang berlaku pada saya.
Video memaparkan kerja kotor sepasang lelaki dan wanita dipercayai suami isteri mencuri beg tangan seorang wanita yang hasil kecuaiannya hanya menggantung beg tangannya di belakang kerusinya.
Seawal 7 saat video bermula, si pencuri lelaki memakai kemeja putih sambil memegang jaket hijau masuk dan berdiri bersebelahan sekumpulan keluarga yang sedang menjamu selera.
Dengan lagak seorang pencuri, dia mula memerhatikan keluarga berkenaan dan mungkin mengenalpasti sasaran mangsa perbuatan jahat mereka.
Selepas 20 saat video bermula, muncul si pencuri wanita yang memakai baju bercorak batik dan terus berbual dengan lelaki tadi.
Si wanita juga mungkin telah diberitahu oleh si pencuri lelaki mengenalpasti mangsa kecurian iaitu seorang wanita yang duduk di hujung meja sebelah kiri yang dilihat membayar sesuatu dan kemudian menyimpan dompetnya ke dalam beg tangannya semula.
Kedua-dua mereka dilihat berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan untuk melihat siapa yang melihat dan siapa yang tidak melihat akan perbuatan mereka.
Selepas mengenalpasti sasaran dan segala-galanya bersedia, si pencuri lelaki bertindak sebagai pelindung kerja jahat sementara si pencuri wanita mencuri beg tangan mangsa yang tergantung elok di kerusi di bahagian belakangnya.
Selepas dicuri, mereka menyorokkan beg itu dan kemudian terus beredar, selepas beberapa minit saya pasti mangsa akan keliru dan kemudian terkejut dengan kehilangan beg tangannya yang umpama dihilangkan oleh ahli silap mata.
Kepada anda, berhati-hatilah jika makan di kawasan medan selera atau food court seperti ini. Jika boleh, sangkutkan terus tali beg itu di bahu atau lengan anda supaya apabila ada percubaan mencuri anda akan segera menyedarinya lantas menghalangnya dari berlaku.
No comments
Post a Comment