Beijing - Seorang wanita ditangkap
kerana mendera suaminya hingga mati sebelum memasak mayat lelaki
berkenaan dalam usaha untuk melupuskan bukti.
Wanita berusia 48 tahun yang dikenali
dengan nama keluarganya Zheng, bertindak membunuh suaminya, Liu selepas
mendapati dia berulang kali menyeksa anak perempuan hasil perkahwinan
pertamanya.
Menurut laporan, Zheng yang tinggal di
Lu’an di wilayah Anhui mencampurkan pil tidur ke dalam makanan suaminya
pada 14 Jun lalu. Dia kemudian mengikat lelaki itu di garaj mereka,
tempat dia memukul Liu dengan penyodok dan menikamnya dengan pemutar
skru.
Mangsa yang tidak diberi makan dan minum
akhirnya mati tiga hari selepas itu. Wanita berkenaan kemudian membeli
gergaji dan periuk tekanan tinggi.
Dia memotong mayat suaminya dan
memasaknya di dalam periuk berkenaan. Bagaimanapun, tidak diketahui
bagaimana dia membuang mayat suaminya yang sudah dimasak.
Zheng memberitahu jiran dan keluarganya bahawa Liu ke daerah Hefei untuk mendapatkan rawatan.
Sebulan selepas melakukan jenayah itu,
Zheng ke balai polis dan mengaku membunuh suaminya. Menurutnya, dia
berdepan dengan tekanan mental dan sering bimbang ditangkap.
Wanita itu kini dalam tahanan polis dan kesnya masih disiasat. - Agensi
No comments
Post a Comment