TAHUN ini merupakan kali kedua buat pelakon popular, Lisa Surihani menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama suami tercinta, Yusry Abdul Halim.
Berkesempatan bertemu dengan Lisa semasa majlis pelancaran filem Madagascar 3 baru-baru ini, dia menyatakan dapat beraya dengan suami dah keluarga mertua memberikan momen tersendiri buat dirinya.
“Berbeza dengan pasangan lain yang akan pulang ke kampung untuk berhari raya, saya dan Yusry mungkin lebih bernasib baik kerana keluarga kami menetap di Kuala Lumpur.
“Pada tahun lepas, saya kali pertama menyambut Aidilfitri sebagai isteri. Namun, saya dan suami mengambil keputusan untuk meraikannya di rumah sendiri yang baru dibeli ketika itu,” jelasnya.
Cerita Lisa, dia juga telah mengajak ahli keluarganya yang lain untuk tinggal bersama-sama dan selepas solat sunat Aidilfitri, dia sekeluarga akan berkunjung ke rumah mertua yang terletak berdekatan dengan rumahnya.
Ketika ditanya tentang pengalaman menarik sewaktu menyambut Aidilfitri bersama suami, pelakon berkenaan menceritakan berlaku satu peristiwa yang membuatkan dirinya terharu.
“Beberapa hari sebelum Aidilfitri tiba, saya ada bercerita dengan ibu mertua tentang hidangan wajib keluarga saya iaitu pulut kuning dan rendang ayam.
“Kemudian selepas kami pulang daripada sembahyang raya, tiba-tiba saya lihat di atas meja sudah tersedia hidangan tersebut dan rupa-rupanya ibu mertua yang menyediakannya,” jelas Lisa tentang pengalaman rayanya tahun lalu.
Ujarnya, dengan perasaan yang cukup terharu dan sebak, dia terus menghubungi ibu mertuanya menerusi panggilan telefon dan memberitahu dia langsung tidak menyangka akan ada kejutan pada pagi raya.
“Sebenarnya saya langsung tidak meminta ibu mertua saya menyiapkan hidangan tersebut. Saya sekadar berkongsi cerita dengannya tentang hidangan tradisi keluarga kami yang perlu ada setiap tahun sejak arwah bapa saya masih hidup lagi.
“Jadi, dengan kejutan yang dilakukan oleh ibu mertua saya, sudah tentu membuatkan saya terharu sehingga air mata saya hampir mengalir ketika bercakap dengannya di telefon,” ujarnya.
Sementara itu, berkenaan dengan persiapan Aidilfitri pula, pelakon yang popular menerusi filem Lagenda Budak Setan itu memberitahu dia sekadar menyiapkan tiga pasang baju raya yang direka oleh pereka terkenal Jovian Mandagie.
Jelasnya, persiapan juga terpaksa dilakukan secara ala kadar memandangkan masa yang tidak mencukupi kerana jadual dirinya dan suami yang cukup padat sepanjang bulan puasa yang baru berlalu.
“Saya hanya akan bercuti daripada sebarang aktiviti seni dua hari sebelum sambutan Aidilfitri.
“Kemudian saya akan bercuti selama dua minggu dan selepas itu akan mula menjalani penggambaran,” jelasnya yang bakal membintangi filem Cicakman 3 arahan Yusry.
Rindu arwah ayah
Pada tahun 2008 pastinya mencatat kenangan tersendiri buat Lisa dah ahli keluarga apabila bapanya, Mohamed Mahbob menghembuskan nafas terakhir kerana penyakit barah hati.
Luah Lisa, sejak kehilangan ayah tercinta kira-kira lima tahun lalu, perasaan rindu yang mendalam pasti akan dirasai olehnya setiap kali tiba bulan Syawal.
“Setiap kali menyambut bulan puasa dan raya, ingatan saya terhadap arwah ayah pastinya akan menjelma.
“Sehinggakan saya selalu teringat saat-saat indah bersamanya,” ujarnya.
Tambah Lisa: “Biasanya kalau bercerita tentang sambutan Aidilfitri, arwah ayah yang akan tentukan hidangan yang wajib disediakan.
“Tidak dinafikan dia memang mengambil berat tentang makanan.”
Namun begitu, pelakon itu menyatakan segala kerinduan itu akan terubat apabila dapat berkumpul bersama suami dan ahli keluarga yang lain.
Kosmo
No comments
Post a Comment