PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzly mula berasa kesal kerana tidak berkahwin pada usia muda selepas melihat rakan-rakan sebayanya bahagia di samping keluarga masing-masing.
Iqram atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 32, berkata, dia kini sudah bersedia untuk berumah tangga kerana tidak mahu ketinggalan merasai hidup berkeluarga.
"Apabila melihat kemesraan kawan-kawan bersama pasangan dan anak-anak mereka, baru terdetik rasa penyesalan kerana saya tidak berkahwin awal tapi apa boleh buatkan?
"Saya sekarang juga sudah bersedia untuk berkahwin dan harap-harap dapat tamatkan zaman bujang dalam masa terdekat," jelasnya kepada mStar Online.
Iqram bagaimanapun memberitahu buat masa ini dia masih belum mempunyai calon untuk disunting sebagai isteri.
"Sementara belum ada calon saya mahu mempersiapkan diri sebagai seorang lelaki dan bakal suami yang sempurna sebelum melangkah ke alam perkahwinan," jelasnya.
Dalam pada itu, Iqram memberitahu dia akan menjalankan perniagaan menternak lembu di kampung halamannya di Ipoh, Perak dalam masa terdekat ini.
Dia dan keluarga mendapat idea untuk terlibat dalam bisnes itu selepas mendapati permintaan yang tinggi terhadap daging lembu daripada pembeli terutamanya pada musim perayaan.
"Sebenarnya sudah lama saya merancang untuk membuka perniagaan tetapi ragu-ragu dengan jenis bisnes apa yang harus dipilih selain kurang pengalaman.
"Bagaimanapun saya melihat peluang besar dalam bidang ini ditambah sokongan daripada keluarga," katanya.
Tambah Iqram, abangnya juga akan membantu menguruskan perniagaan itu nanti kerana mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, Iqram berkata, keputusannya untuk menceburi bidang perniagaan adalah sebagai persediaan untuk hari tua. mStar
No comments
Post a Comment