SEJAK filem Adnan Sempit 1 dan Adnan Sempit 2 ditayangkan dahulu, ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dengan kedua-duanya telah memperoleh kutipan sebanyak RM7.66 juta dan RM6.8 juta.
Dengan sambutan luar biasa itu, MIG Pictures Sdn. Bhd. terus menghasilkan kesinambungannya iaitu Adnan Sempit 3 yang mula ditayangkan pada hari raya pertama.
Pelakon utamanya, Shaheizy Sam yang memegang watak Adnan berkata, penonton yang pernah mengikuti dua siri filem tersebut sebelum ini perlu menonton Adnan Sempit 3.
“Kalau hendak diceritakan tentang watak saya dalam filem ini, rasanya tiada perubahan yang ketara. Watak Adnan masih kekal seperti filem-filem yang terdahulu.
“Cuma kali ini Adnan dan Nadia telah mendirikan rumah tangga serta bermulalah kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri. Pelbagai kisah menarik dipaparkan di samping timbulnya konflik antara mereka berdua,” ujarnya ketika ditemui pada majlis previu filem itu baru-baru ini.
Ditanya mengenai pandangannya terhadap kekuatan filem tersebut, Sam menyatakan Adnan Sempit 3 wajar ditonton kerana ia memaparkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia.
“Walaupun ia sebuah filem berunsur komedi, tetapi jalan ceritanya juga memberi gambaran kepada kehidupan sesebuah keluarga, terutamanya pasangan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga,” jelasnya.
Kisah Adnan Sempit 3 bermula dengan pasangan Adnan dan Nadia (Intan Ladyana) serta Bobby (Along Raja Lawak) dan Wawa (Yana Samsudin) yang masing-masing telah mendirikan rumah tangga.
Kemudian masalah berlaku apabila Nadia dan Wawa sama-sama didapati mengandung. Adnan telah mengalami alahan yang teruk, manakala Bobby menghadapi masalah kewangan untuk membiayai kos bersalin isterinya.
Sementara itu, Intan yang ditanya mengenai lakonannya dalam filem itu menyatakan kelainan watak yang dibawakannya kali ini iaitu sebagai wanita mengandung memang cukup menarik.
Bercerita lebih lanjut tentang peranannya sebagai Nadia, pelakon berkenaan menjelaskan, terdapat sedikit perbezaan apabila dalam filem tersebut dia menjadi seorang suri rumah tangga sepenuh masa, berbanding sebagai wanita berkerjaya dalam dua filem sebelumnya.
“Memainkan watak sebagai seorang wanita mengandung semestinya suatu cabaran yang menarik, apatah lagi dengan sikap Nadia yang selalu bersikap syak wasangka terhadap Adnan.
“Jadi, kepada mereka yang mempunyai masa terluang semasa cuti berhari raya ini, jangan lupa saksikan filem ini kerana saya percaya ceritanya lebih kelakar dan menghiburkan,” ujarnya.
Selain pasangan Adnan dan Nadia selaku tunjang kepada filem Adnan Sempit 3, dua lagi watak yang turut menjadi kekuatan ialah Bobby dan Wawa yang merupakan kawan baik kepada pasangan tersebut.
Along yang turut ditemui semasa majlis previu filem berkenaan berkata, tidak dinafikan watak Bobby yang dibawakannya itu boleh membuat penonton lebih meluat.
“Dalam filem kali ini perangai Bobby digambarkan sebagai seorang suami yang tidak berguna kerana tidak mampu membahagiakan isterinya apabila selalu menghadapi masalah kewangan.
“Selain itu, dia juga terlalu bergantung harap dengan Adnan yang sudah kaya setelah berkahwin dengan Nadia. Sehingga hubungan Adnan dan Bobby menjadi renggang,” jelasnya.
Bagi Yana Samsudin pula, melalui kehidupan sebagai seorang isteri yang sedang berbadan dua dengan suami yang bergelar seorang penganggur memang memberikan tekanan buat Wawa.
Menurutnya, jika dalam filem Adnan Sempit 1 dan Adnan Sempit 2, Wawa digambarkan sebagai wanita yang ceria, kali ini dia mengalami tekanan perasaan dengan sikap Bobby yang tidak dapat menjaganya dengan baik.
“Meskipun filem ini sarat dengan elemen hiburan dan komedi, terdapat pengajaran yang boleh dijadikan sebagai iktibar. Misalnya, kisah yang berkaitan tentang tanggungjawab suami terhadap keluarga,” ujarnya.
Kosmo
No comments
Post a Comment