PETALING JAYA: Golongan wanita di Malaysia didapati lebih bersikap pemarah berbanding lelaki ketika memandu.
Bagaimanapun, di sebalik sikap tersebut, pemandu wanita jarang ditimpa kemalangan dan kematian di jalan raya.
Perkara itu didedahkan hasil keputusan kajian selama lima tahun yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Kajian itu dijalankan bagi mengenal pasti bilangan jenis pemandu yang dikategorikan di bawah tiga kumpulan - peringkat kemarahan melampau, peringkat kemarahan sederhana dan peringkat kemarahan rendah.
Penyelidik dan ahli psikologi Miros, Karen Goonting berkata, walaupun golongan wanita lebih cenderung menjadi pemarah, mereka jarang terlibat dengan kemalangan kerana gemar memendam perasaan tersebut.
"Lelaki lebih berani bertindak dan mungkin menterjemahkannya secara fizikal berbanding wanita. Ia mungkin disebabkan faktor budaya. Ia tidak boleh diterima umum bagi wanita Asia untuk bertindak agresif," katanya kepada The Star.
Goonting berkata, kelemahan itu menyebabkan lebih ramai wanita mengalami masalah kemurungan berbanding lelaki.
Lebih mengejutkan, kajian itu mendedahkan demografi di mana kemarahan pemandu cenderung berlaku.
Meskipun memiliki pantai yang indah dan bandar yang tenang, Terengganu mengisi kedudukan teratas bagi negeri di Malaysia yang mencatat peratusan tertinggi pemandu dengan kemarahan melampau.
Kajian itu, bagaimanapun, tidak melihat punca yang membuatkan pemandu di Terengganu dan negeri lain bersikap pemarah atau kurang marah dalam beberapa kes.
Negeri yang menduduki tempat kedua adalah Melaka manakala Kuala Lumpur di tempat ketiga.
Menurut spekulasi, pemandu-pemandu di Melaka bersikap pemarah mungkin kerana jalan di negeri itu yang sempit dan kesukaran untuk mendapatkan tempat letak kereta.
Kajian itu tidak mendedahkan sama ada pemandu yang marah itu merupakan penduduk tempatan atau pelancong yang berkunjung ke bandaraya bersejarah itu pada cuti umum atau hujung minggu.
Dalam beberapa kes di Kuala Lumpur, kesesakan lalu lintas mendorong kepada pemandu dengan kemarahan melampau.
Sementara itu, Kedah mencatatkan jumlah bilangan pemandu dengan kemarahan melampau sedikit tetapi punca tersebut masih tidak jelas.
Mungkin keindahan sawah padi memberi ketenangan di kalangan pemandu di negeri itu.
Menurut kajian itu, 18% daripada 13.3 juta pemandu berdaftar di Malaysia mungkin diletakkan dibawah kategori pemandu dengan kemarahan melampau.
"Jumlah itu amat tinggi. Ini bermaksud terdapat 2.4 juta pemandu bersikap pemarah di jalan raya yang mungkin menyumbangkan peningkatan kemalangan," kata Goonting.
Beliau berkata pemandu yang bersikap pemarah lebih mudah gagal mengawal kenderaan mereka atau hilang fokus.
"Dengan adanya pemandu seperti ini, kemarahan itu akan terpendam dalam jiwa mereka di sepanjang perjalanan," katanya.
Pemandu di Malaysia juga didapati tiga atau empat kali lebih bersikap pemarah berbanding pemandu di Amerika Syarikat, Britain, Australia, New Zealand, Sepanyol dan Turki.
No comments
Post a Comment