Izan Suhaila Mohd Ali, 36, dan Mariam Sofea Mohd Reza dihalang menaiki pesawat tambang murah itu di Lapangan Terbang Ho Chi Minh pada Sabtu malam selepas bayi perempuan berkenaan disyaki mempunyai simptom penyakit berjangkit.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata petugas MAS membawa Mariam Sofea berjumpa seorang doktor kerana langkah itu adalah prosedur standard untuk semua penumpang yang memiliki simptom penyakit berjangkit bagi memperoleh sijil layak menaiki pesawat.
Ini bagi memastikan tidak ada penumpang yang mendatangkan risiko kesihatan kepada penumpang lain, katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau juga berkata doktor kemudian mengesahkan bayi itu tidak lagi dijangkiti dan sudah melepasi tempoh inkubasi manakala bintik hitam di tubuh Mariam Sofea sebenarnya keruping.
“Sejurus selepas itu, MAS membantu menyediakan dokumen perjalanan untuk Izan, Maryam Sofea dan dua lagi saudara mereka. Mereka ditempah untuk penerbangan MH759 yang berlepas dari Ho Chi Minh pada Ahad agar tidak perlu lagi bermalam di sana sekali gus terpaksa berbelanja lebih,” katanya.
Ahmad Jauhari berkata petugas MAS dari Saigon turut menghantar keluarga itu ke lapangan terbang dari hotel mereka, dan apabila tiba di lapangan terbang, pasukan perkhidmatan di situ sudah bersedia dengan semua dokumentasi yang diperlukan bagi memastikan daftar masuk pantas.
“Seorang petugas diarah mengiringi keluarga itu bagi pemeriksaan Imigresen dan Kastam. Ini penting kerana terdapat persoalan berhubung cop dalam pasport mereka berikutan insiden hari sebelumnya,” katanya.
Izan dan keluarganya berjaya menaiki penerbangan MH759 dan berlepas dari Saigon ke tanah air pada 4.40 petang.
Ahmad Jauhari berkata pihaknya gembira pasukan petugas MAS di Saigon memberi layanan mesra 100 peratus ala Malaysia dalam situasi ini.
Beliau berkata keupayaan pasukan itu bertindak di luar tugas mereka perlu dipuji, dan turut membanggakan mereka tidak melanggar mana-mana peraturan dalam prosedur standard.
“Saya secara peribadi ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua petugas yang terlibat secara langsung dalam kes ini,” katanya.
Penerbangan MAS berlepas ke bandaraya Ho Chi Minh tiga kali sehari. – BERNAMA
No comments
Post a Comment