California – Akibat tersalah dail nombor 911, dua perompak akhirnya ke penjara.
Kejadian berlaku ketika Nathan Teklemariam dan Carson Rinehart, yang masing-masing berusia 20 tahun telah tersalah mendail panggilan kecemasan tersebut melalui telefon bimbit salah seorang daripada mereka.
Namun selepas operator menjawab panggilan itu, mereka hanya mendiamkan diri tetapi terlupa untuk mematikan telefon berkenaan.
Dalam masa sama operator kecemasan itu tidak mematikan panggilan, sebaliknya mendengar perbualan kedua-duanya yang bercakap mengenai dadah dan rancangan untuk memecah masuk ke dalam sebuah rumah.
“Ambilkan saya penukul,’’ itu antara perbualan yang dirakamkan oleh operator tersebut.
Ketika kedua-duanya sedang memandu, polis telah pun berada di kawasan berkenaan selepas mendapat petunjuk yang diperolehi daripada operator panggilan kecemasan berkenaan.
Selepas berjaya mengesan suspek, polis kemudiannya menyoal mereka, dan kedua-duanya nyata terkejut serta terpinga-pinga.
“Oh…dia mengekori saya. Wow apa yang telah saya lakukan,’’ kata salah seorang suspek.
Biarpun mereka tidak mengaku melakukan sebarang kesalahan, namun pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan mereka berjaya menemukan polis dengan barang curi.
Setelah kedua-duanya digari, salah seorang daripada suspek itu berkata,
“Dia telah menghubungi 911” Bodoh,’’.
Kedua-dua mereka didakwa mereka merompak dan memiliki barang curi.
No comments
Post a Comment