Barisan Kabinet baru Malaysia dijangka
dibentuk secara rasmi Rabu ini dengan menteri-menteri yang dilantik akan
mengangkat sumpah di Istana Negara di Kuala Lumpur.
Sumber memberitahu Mynewshub,
perbincangan akhir mengenai senarai menteri-menteri yang bakal dilantik
akan dimuktamad dalam masa terdekat.
“Paling lewat Selasa sudah ada
pengumuman siapa yang dilantik untuk penggal seterusnya, mungkin Isnin
dah boleh tahu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Antara yang dicadangkan pada peringkat
ini ialah perlantikan 2 menteri Cina mewakili MCA dan MIC juga kekal
dengan 2 menteri penuh.
“Jawatan untuk wakil MCA tetap akan
dibuat memandangkan banyak pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad mencadangkan wakil Cina dalam kabinet dikekalkan
walaupun kaum itu hampir tidak mengundi langsung Barisan Nasional (BN)
pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) Ahad lalu,” katanya.
Antara yang dijangka ditawarkan jawatan
menteri adalah Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau
adalah Ahli Parlimen Bentong dan merupakan Menteri Kesihatan.
Sekiranya apa yang dicadangkan itu
menjadi realiti, maka jumlah menteri dari MCA berkurangan daripada 4
orang menteri penuh sebelum ini kepada hanya dua orang.
Bagi kuota MIC, Presiden parti, Datuk G Palanivel dan Datuk Dr S. Subramaniam akan kekal dalam kabinet baru.
Selain itu menurutnya, penyertaan wakil
dari Sabah dan Sarawak juga dijangka adalah yang terbesar dalam sejarah
pembentukan kabinet kali ini.
Menurut sumber berkenaan, tiga menteri akan dilantik dari Sabah dan tiga lagi dari Sarawak.
“Jumlah menteri bagaimanapun dijangka
kekal seperti sebelum ini (29 orang),” katanya sambil menambah tidak ada
kementerian baru akan dibentuk.
Kata sumber itu, salah satu daripada enam yang bakal dilantik dari Sabah dan Sarawak mungkin wanita.
Beliau bagaimanapun menjelaskan
awal-awal lagi bahawa Ketua Puteri UMNO yang juga Ahli Parlimen Papar
dicadangkan kekal sebagai Timbalan Menteri.
Ketua Wanita UMNO dan BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga berkemungkinan besar tidak akan dilantik lagi.
Antara Menteri yang dijangka gugur pula
adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan,
Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor
Mohamed Yakcop dan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim (kedua-dua tidak
bertanding).
Tempat Rais dicadangkan untuk diisi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Manakala Menteri Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri
Kong Cho Ha; Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri
Bernard Dompok dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar,
Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang tewas dalam PRU-13 juga
dijangka tidak akan dilantik.
Khairy Jamaluddin yang tanpa segan silu
menawarkan diri untuk berada dalam Kabinet pimpinan Datuk Seri Najib Tun
Razak pula dijangka akan dilantik ke jawatan Timbalan Menteri.
Seorang lagi Timbalan Menteri baru yang dicadangkan adalah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul rahman.
Najib juga dijangka akan mengurangkan perlantikan Senator untuk mengisi jawatan di peringkat kementerian, kata sumber itu.
“Namun akan ada juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) dilantik sebagai senator untuk mengisi jawatan Timbalan
Menteri,” katanya.
Selain itu, kejutan mungkin berlaku
apabila Kementerian Pembangunan Wanita mungkin diterajui Menteri lelaki
menurut sumber berkenaan
No comments
Post a Comment