ROMPIN – Gara-gara ingin mendapatkan zuriat, seorang kerani sebuah syarikat swasta yang menjalani rawatan tradisional dicabul seorang bomoh, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi
Superintendan Johari Jahaya berkata, mangsa berusia 31 tahun itu
dipercayai dicabul suspek kira-kira jam 6.15 petang di dalam bilik air
rumah mangsa di Muadzam Shah.
Menurutnya, suspek berusia 62 tahun
dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu ketika sedang memandikan
mangsa, kononnya sebagai rawatan pemulihan.
“Semasa memandikan mangsa, suspek memeluk, meraba dan mencium mangsa sebanyak dua kali,” katanya.
Bagaimanapun Johari berkata, wanita
terbabit tidak berani melawan kerana menganggap ia sebagai prosedur yang
perlu dijalaninya bagi mendapatkan rawatan tersebut.
“Mangsa yang berasa curiga kemudiannya
mengadu kepada suaminya yang dia dicabul bomoh tersebut dan setelah
berbincang mereka memutuskan untuk membuat laporan polis,” katanya.
Johari berkata, mangsa dan suaminya itu membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah pada jam 2.30 petang, Rabu lalu.
Beliau berkata, polis kini menahan reman
suspek dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat
atau kedua-duanya sekali. – Sinar Harian Online
No comments
Post a Comment