BATU PAHAT – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah dan memberi pelbagai alasan kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) Daerah Batu Pahat bagi mengelak ditahan selepas didapati berkhalwat bersama pasangannya, semalam.
Lelaki tersebut bersama pasangannya ditahan di sebuah kediaman teres
dua tingkat yang diubahsuai menjadi rumah tumpangan di bandar ini, dalam
operasi cegah maksiat yang dijalankan.
Lebih memeranjatkan lelaki terbabit turut menjerkah anggota operasi
dengan mengatakan bahawa wanita tersebut adalah miliknya dan tiada siapa
boleh menghalang hubungan mereka.
Timbalan Penguatkuasa JAIJ Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd
Sopah berkata, pasangan berkenaan pada mulanya enggan memberi kerjasama
dan membuka pintu ketika serbuan dilakukan.
Menurutnya, anggota operasi mengambil masa selama beberapa minit bagi
‘memujuk’ pasangan terbabit untuk membuka pintu, namun usaha dilakukan
tidak berhasil.
“Pasangan ini hanya memberi kerjasama dengan membuka pintu
apabila anggota operasi menyatakan mahu memecahkan pintu rumah tumpangan
itu. Kami mendapati mereka berdua-duaan dalam bilik tertutup dalam
keadaan mencurigakan.
“Lelaki terbabit yang membuka pintu memberikan pelbagai
alasan agar mereka tidak didakwa, manakala pasangannya berada dalam
keadaan ketakutan kerana statusnya masih lagi isteri orang.
“Antara alasan yang diberikan pasangan berkenaan, mereka
saling mencintai, namun status menghalang hubungan mereka. Mereka turut
memberitahu kini dalam proses perceraian dengan pasangan masing-masing,”
katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Saiful Ariffin berkata, siasatan awal mendapati pasangan terbabit
sudah lama mendiami rumah tumpangan berkenaan berdasarkan barangan milik
mereka di dalam bilik yang diserbu.
Tegasnya, pasangan terbabit tetap didakwa kerana tiada ikatan
perkahwinan sah selain berada dalam keadaan mencurigakan meskipun
memberi pelbagai alasan.
“Pasangan berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu
Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut dan
sebagai pengajaran kepada mereka.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal
berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya
sekali,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan
maksiat atau berada dalam keadaan mencurigakan bagi mengelak ditahan
pihak berkuasa.- SINAR HARIAN
No comments
Post a Comment