London – Seorang remaja yang mabuk telah ditahan polis selepas dia mencuri seekor kura-kura bernilai £2,000 dari sebuah taman safari dan kemudian menjual kura-kura berkenaan pada harga hanya £30 dalam Facebook. Adam Steff, 18, ditangkap selepas mencuri kura-kura gergasi Aldabra di Taman Safari Woburn ketika remaja berkenaan merayau-rayau di situ dalam keadaan mabuk.
Kura-kura jenis spesies yang jarang ditemui itu telah dijual kepada seorang remaja lain, minggu lepas.
Bagaimanapun pembeli kura-kura itu mendakwa tidak mengetahui bahawa kura-kura itu telah dicuri dari sebuah taman safari.
Polis berjaya menahan Adam DNA yang ditemui pada tin bir yang dibuang di tempat kejadian, sepadan dengan remaja berkenaan.
Dalam pada itu, ketika memberikan keterangan di mahkamah, Adam mendakwa dia tidak menyedari perbuatannya itu kerana ia dilakukan tanpa disedarinya.
Adam juga tidak mengetahui bahawa kura-kura itu amat bernilai dan dia mengaku melakukan kesalahan berkenaan.
Susulan pengakuannya itu, Adam dikenakan hukuman melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama 80 jam tanpa bayaran.
Dia juga diperintah menjalani tahanan dalam rumah antara 7 malam hingga 7 pagi selama dua bulan.
“Ia adalah kesalahan serius dan anda bernasib baik kerana tiada kesan lebih serius berlaku akibat perbuatan bodoh ini,’’ kata Majistret.
Sementara itu, penjaga zoo berkenaan berkata, kura-kura itu berasal dari Seychelles dan satu-satunya kura-kura betina daripada lima lagi kura-kura spesis berkenaan yang terdapat di taman safari berkenaan.
No comments
Post a Comment