KUALA LUMPUR - Empat rakan masing-masing dipenjara lapan tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku menyebabkan kematian seorang rakan mereka di sebuah kondominium, tahun lepas.
"Selepas meneliti fakta kes, mitigasi kesemua tertuduh dan faktor kepentingan awam serta punca kejadian, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun setengah bagi setiap tertuduh," katanya.
Mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menyebabkan kematian Nor Shahirah Hassan, 26, di Genting Court Condo, Jalan Genting Klang, Setapak antara 12 tengah malam hingga 5 pagi pada 3 Feb tahun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, ketika disoal hakim berhubung punca kejadian, Sherill Clarissa memberitahu mahkamah mangsa memburukkan nama ibunya manakala Ellina berkata Nur Shahiran berhutang dengannya sebanyak RM2,000.
Huzaifah pula berkata mangsa sering menipunya manakala Raja Nor Bahiah memaklumkan ketika kejadian, dia berhasrat membantu Nur Shahiran namun membatalkan niatnya selepas mendapat tahu wanita itu juga ada memburukkan namanya.
Mengikut fakta kes yang dibentang Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, tertuduh bertindak kejam dengan mencurah air mendidih ke arah muka dan anggota badan mangsa selain memukul, menendang serta membogelkannya.
Selepas itu, Nur Shahiran diarah masuk ke dalam sebuah bilik untuk mengambil kain bagi mengelap lantai yang dibasahi air panas tersebut namun mangsa tidak keluar semula dari bilik berkenaan.
Fakta kes itu juga menyebut tertuduh kemudian memeriksa bilik yang dimasuki Nor Shahirah dan mendapati tingkap bilik terbuka separuh dan mangsa tertiarap di bawah bangunan dalam keadaan bogel.
Sementara itu, Mohd Mukhzany Fariz memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal berikutan kejadian jenayah bunuh semakin berleluasa.
Beliau berkata ibu mangsa, Laila Jamaluddin, 54, tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana tidak sihat, namun menerusi rakaman percakapan, beliau sedih dengan kehilangan anak sulungnya.
Sherill Clarissa diwakili peguam Joshua Kevin, Ellina oleh peguam Datuk Sallehuddin Saidin, Huzaifah oleh Mohd Radzlan Jalaludin dan Raja Nur Bahiah diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi.
Sebelum prosiding bermula, Ellina dan Raja Nur Bahiah sempat bertemu anak mereka yang masing-masing berusia 10 dan empat bulan. - Bernama
No comments
Post a Comment