Tokyo: Ia negara yang terkenal kerana cara unik untuk mengiklankan produk.
Tetapi, Jepun kini melangkah satu tapak ke depan dengan wanitanya menyewakan paha mereka untuk syarikat memasarkan produk masing-masing dengan kadar bayaran tertentu.
Dengan tanggapan bahawa iklan yang baik perlu diletakkan di tempat orang akan memberikan tumpuan, paha wanita sudah pasti menjadi pilihan paling sesuai.
Dan strategi pemasaran pintar itu sudah terbukti menjana kejayaan.
Setakat November lalu, kira-kira 1,300 wanita muda mendaftarkan paha mereka untuk dijadikan ruang iklan dengan syarikat perhubungan awam, Absolute Territory dan jumlah itu semakin meningkat.
Paha mereka ditampal iklan dan mereka menjalani kehidupan seperti biasa, memakai skirt pendek dan mempamerkan anggota itu sebaik mungkin.
Selagi iklan itu berada di paha mereka selama lapan jam sehari atau lebih, tugas mereka selesai dan mereka akan dibayar.
Sebagai bukti mereka melakukan tugas berkenaan, peserta perlu memuatnaikkan gambar mereka ‘memakai’ iklan itu pada laman Facebook, Twitter atau laman sosial lain milik mereka.
Dan bukan setakat syarikat pengeluar produk saja mendapatkan khidmat mereka.
Sebuah kumpulan rock, Green Day juga menggunakan khidmat sama untuk mempromosi album baru mereka, !Uno!
Menurut jurucakap Absolute Territory, Eichi Atsumi, garis panduan perlu dipatuhi ialah mereka mendaftar menjadi iklan bergerak itu perlu mempunyai rangkaian 20 atau lebih orang dalam laman sosial dan mereka mesti berusia 18 tahun ke atas. - Daily Mail
No comments
Post a Comment