SEORANG pelajar perfileman di Singapura kini terpaksa membantu polis dalam satu siasatan berkaitan video Hotel Marina Bay Sands diletupkan.
Menurut laporan The Straits Times Singapura, pelajar itu Caleb Rozario, 23 tahun, memuatnaik klip pendek berkenaan ke laman Facebook Disember tahun lepas.
Turut disertakan bersama video berkenaan, iaitu satu komen yang berbunyi “Jadi, saya letupkan MBS atau sebaliknya.. haha,”
(Status Facebook Rozario yang menyatakan dia akan meletupkan Hotel Marina Bay Sands yang menerima banyak komen dan kecaman. Status itu juga didakwa akan meggugat keselamatan awam dan juga dianggap sebagai satu ugutan.)
Seorang pengguna internet menghantar link video berkenaan ke laman portalstomp.sg dan mendapat maklumbalas bahawa video berkenaan dilihat mengancam keselamatan orang ramai.
Rozario merupakan seorang pelajar diploma di sebuah institusi media swasta SAE Institute menjelaskan bahawa video berkenaan dihasilkan mengikut kehendak tugasan “kesan khas visual”.
Dia turut menjelaskan bahawa video berkenaan bukan bertujuan untuk ugutan atau mengancam keselamatan.
Pelajar itu memilih hotel Marina Bay untuk kesan khas letupan itu selepas mengambil inspirasi dari beberapa filem Hollywood yang kerap menjadikan lokasi utama sebagai sasaran letupan.
Seorang jurucakap polis Singapura mengesahkan ada laporan dibuat ke atas video berkenaan namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
Ahad lepas, Rozario dihubungi pihak polis untuk membantu siasatan dakwaan menghantar mesej palsu di bawah Akta Telekomunikasi Singapura.
Jika disabitkan kesalahan Rozario boleh dipenjarakan maksimum tujuh tahun dan didenda tidak melebihi $50,000 Dolar Singapura atau kedua-duanya sekali.
Pelajar itu yang dijadualkan menamatkan pengajiannya beberapa minggu lagi, berkata pihak polis menyiasat semua peralatanya antaranya komputer peribadi, telefon bimbit miliknya dan adiknya Jesse.
Dia dan adiknya kemudian dibebaskan bersama peralatan elektronik mereka selepas beberapa jam.
No comments
Post a Comment