Di ketika ramai antara kita yang sakan membuat persiapan hari raya – membeli belah apatahlagi di saat-saat akhir, tapi bagi penyanyi dan penyampai radio Era.fm Dina Nadzir, dia tidak perlu bersusah payah membuat segala persiapan untuk menyambut ketibaan Aidilfitri yang bakal kita semua raikan pada hari Khamis ini.
Kata Dina, niat dihatinya memang mahu membeli keperluan untuk rumah keluarganya di Johor. Tetapi kebetulan tahun ini segala persiapan telah diuruskan oleh abang-abangnya.
“Raya tahun ni adalah raya paling chill bagi saya! Sebab, kalau macam tahun lepas saya ada beli kuih-kuih raya untuk dibawa balik ke kampung kami di Johor Bahru. Tapi tahun ni, abang-abang dah bagitahu yang biar mereka yang beli.
“Baju raya pula, kebetulan beberapa bulan lalu saya ada beli sehelai baju. Lepas tu ayah saya pula berikan saya sepasang kain. Bila saya suai-padan baju dengan kain tu, macam cantik lah pula. Jadi saya tak lah beli baju raya tahun ni. Dalam erti kata lain, raya tahun ni saya tak keluar sesen pun.
“Cuma, di rumah memang kami adik beradik akan sediakan satu balang khas. Kami akan masukkan duit dalam balang tu, kira sumbangan kami. Dan duit tu nanti akan dijadikan duit raya untuk budak-budak yang datang beraya di rumah kami”, cerita Dina ketika ditemui baru-baru ini.
Kebiasaannya hari raya digunakan peluang sebaik mungkin untuk gadis ini meluangkan masa bersama keluarga. Kalau keluarga lain lebih teruja untuk keluar beraya ke rumah sanak-saudara. Berbeza dengan keluarga Dina, mereka lebih duduk dirumah menonton televisyen sambil menunggu kunjungan saudara mara.
“Memang setiap tahun kami lebih duduk di rumah, menanti kunjungan saudara-mara. Seronok dapat melayan tetamu. Masa-masa raya beginilah peluang kita luangkan masa dengan famili. Sebab kalau hari biasa masing-masing sibuk. Hari raya jer lah kami dapat berkumpul ramai-ramai”, katanya yang akan bercuti raya selama tiga hari.
Sambut 1 Syawal Dalam Konti
Pun begitu, Aidilfitri tahun ini merupakan kali kedua Dina akan beraya di konti. Ala biasa tegal biasa, kata pelantun lagu Wanita Besi ini, dia tidaklah terlalu sedih apabila perlu bertugas di konti pada pagi Syawal. Lagipun waktu bekerjanya hanya disebelah pagi mulai jam 6 pagi hingga 10 pagi. Habis saja waktu keudara, dia akan terus pulang ke Johor Bahru.
“Tahun ni, raya pertama saya kena kerja. Sebenarnya masa dua tahun lepas, saya dah pernah ada pengalaman kena kerja pada pagi raya. Jadi saya tak kisah sangat sebab lepas jer on-air nanti saya akan terus baik ke kampung”, katanya yang menggemari masakan wajib ibunya setiap kali di pagi raya iaitu nasi goreng halia.
Perkembangan lain, selepas raya nanti Dina bakal melancarkan single terbaru berjudul Tak Rela. Istimewanya, lagu tesebut merupakan lagu nyanyian asal penyanyi popular 80-an, Liza Aziz.
“Lagu ni telah diubah susunan muziknya oleh komposer dan pemuzik, Lok-U. Kita gunakan 100% muzik live. Sebenarnya masa saya baru-baru keluar Malaysian Idol dulu, ada tawaran untuk saya menyanyikan lagu ni. Tapi pada ketika tu saya tak sedia lagi.
“Kak Liza adalah salah seorang idola saya. Saya belum lagi berkesempatan jumpa dengan dia tapi memang teringin sangat nak jumpa dia”, katanya. – Malaysian Digest
No comments
Post a Comment