Pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari terkenangkan nostalgianya menyambut kemeriahan Aidilfitri ketika dia di masih bangku sekolah rendah.
“Semasa saya kecil dahulu, saya dan abang selalu menjadi ala ‘MacGyver’ dan setiap kali tibanya malam raya, ada sahaja projek yang bakal kami lakukan. Zaman dahulu, keluarga saya agak susah. Apabila tibanya Hari Raya, orang lain menukar perabot baru. Tapi lain pula dengan saya dan abang saya, untuk mendapatkan perabot baru, kami lakukan projek kami sendiri dengan mengecat perabot lama,” cerita Awal memulakan bicara mengenai nostalgia rayanya.
“Ibu yang sedang sibuk menyediakan juadah Hari Raya di dapur bersama adik tidak perasan apa yang kami lakukan kerana kami berdua sepakat untuk menutup lorong dari dapur ke ruang tamu dengan kerusi. Lalu kami mengecat perabot lama dengan warna keemasan. Tapi malangnya, di pagi Syawal, perabot yang kami cat malam sebelumnya masih belum kering.
Tetamu yang datang ke rumah kami di pagi raya habis terkena cat warna keemasan. Terpaksa kami tutup rumah kami pada hari itu untuk menunggu cat kering dan kami sekeluarga keluar berhari raya di rumah orang lain,” jelas Awal sambil tersenyum mengimbas nostalgia rayanya sewaktu kecil.
Mengulas mengenai juadah raya yang digemari, suami kepada aktres jelita Scha Al Yahya ini mengakui yang dia amat suka makan Lemang dan Ketupat Palas di pagi Raya.
“Saya amat gemar makan ketupat palas dan juga lemang. Scha juga sudah masak tentang perkara ini, jadi dia sendiri yang akan menyediakan bekalan ketupat palas di pagi raya untuk saya makan. Bercakap mengenai biskut raya pula, saya kurang gemar dengan kuih-kuih moden seperti kuih ‘Almond London’, kuih tart dan sebagainya. Saya lebih suka kuih tradisional seperti kuih Samperit, Batang Buruk dan Rempeyek,” ulas pengacara Melodi ini lagi.
Bercerita tentang lagu Raya pula, Awal memberitahu dia menggemari lagu-lagu raya yang berentak rancak dan juga ceria.
“Saya sukakan lagu ‘Selamat Hari Raya’ dendangan Fazidah Joned. Setiap kali mendengar lagu tersebut, saya akan mengimbau kembali memori saya menyambut Syawal semasa kecil di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Lagu itu selalu dipasang di kawasan perumahan saya dan mendatangkan perasaan yang gembira untuk menyambut lebaran. Saya kurang gemar mendengar lagu-lagu raya yang sedih dan sayu kerana bagi saya, saya tidak mahu bersedih dalam menyambut Aidilfitri,” cerita Awal lagi.
Dalam perkembangan lain, sempena bulan Syawal yang mulia ini, Awal muncul dengan program raya istimewa ‘Melodi Raya 2013’ di samping Zizan Razak yang akan bersiaran pada raya keempat. Selain itu, Awal juga tampil dalam program ‘Kecoh Pengacara Beraya’ di samping isterinya, Scha dan rakan-rakan pengacara lain seperti Neelofa, Fara Fauzana, Kamal Adli, Faizal Ismail dan ramai lagi. - Gua
No comments
Post a Comment