Bekas juara Akademi Fantasia 5, Mila, atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, kini mengembangkan sayap dalam perniagaan restoran selepas berjaya menubuhkan syarikat pengurusan majlis, Luvmila Corporation Sdn Bhd.
Restoran Embun Urai yang terletak di Tasik Prima Puchong itu sudah diusahakan oleh Mila, 26, sejak tiga tahun lalu. Pada mulanya, dia hanya bertindak sebagai rakan kongsi, namun Mila berjaya menjadi pemilik restoran tersebut selepas membeli seluruh saham restoran awal tahun lalu.
“Beroperasi di kawasan perniagaan yang strategik, sebenarnya saya adalah pelanggan setia restoran itu. Namun, disebabkan masalah kewangan dihadapi, ia mendorong pemilik asal menjualnya. Antara menu istimewa restoran ini ialah tomyam dan makanan laut yang cukup enak. Ditambah lagi, harga yang ditetapkan juga amat berpatutan,” kata penyanyi yang kini muncul dengan duet bersama Nubhan dalam lagu berjudul “Cinta Kasih”.
Walaupun sibuk dengan perniagaan, Mila, yang juga anak sulung dalam keluarga masih dapat menguruskan masa dengan baik tambah-tambah lagi restoran tersebut dibantu oleh ayahnya, Jirin Burhan, 51.
Selain daripada minat berniaga, Mila mengambil keputusan menceburi bidang perniagaan bagi persediaan di masa hadapan kerana dia tidak akan bergantung kepada nyanyian semata-mata.
Menyentuh mengenai soal perkahwinan, Mila memang berhasrat mahu mendirikan rumah tangga namun jodohnya masih belum tiba. “Buat masa ini, jodoh mungkin belum berpihak lagi kepada saya. Apatah lagi, sekarang ini pun saya sangat sibuk menguruskan perniagaan dan karier nyanyian,” ujar Mila.
No comments
Post a Comment