Pergaduhan selebriti di laman sosial Twitter terbaru melibatkan dua nama besar iaitu penyanyi Lady Gaga dan penulis blog hiburan popular, Perez Hilton.
Hubungan Gaga dan Hilton yang sebelum ini diketahui ramai berkawan baik mula menjadi suram berikutan beberapa insiden.
Pada Khamis lalu, Hilton mengemaskini Twitter dengan memberitahu lagu terbaru penyanyi Katy Perry, "Roar" lebih baik daripada lagu Gaga, "Applause" yang baru sahaja diriliskan.
Gaga bertindak membalas, "Masih mempunyai teks mesej daripada Perez yang menghantar gambar saya di atas kerusi roda dengan perkataan KARMA tertulis di atasnya dan Madonna menunjukkan pistol ke arah saya."
Walaubagaimanapun keadaan bertukar buruk apabila pelantun lagu "Bad Romance" ini menuduh Hilton menghendapnya, selepas salah seorang pengikut Twitter memberitahu dia melihat penulis berusia 35 tahun itu berada di bangunan rumah Gaga di New York.
"Jauhi saya dan keluarga. Anda mempunyai masalah, cuba menyewa rumah di bangunan yang sama untuk menghendap saya. Tinggalkan saya sendirian!," ujar Gaga.
Walaubagaimanapun Hilton tampil memberi penjelasan di laman sesawangnya, memberitahu kecewa apabila bekas teman baiknya itu membuat tuduhan palsu secara terbuka dan masih enggan menjelaskan punca persahabatan mereka terputus.
Malah Hilton yang mempunyai anak berusia enam bulan yang dilahirkan menggunakan proses ibu tumpang turut menjelaskan gara-gara mesej Gaga, ramai yang menghantar ugutan bunuh serta memberi komen kurang enak terhadap anaknya itu.
"Jika peminatnya ingin menghantar mesej untuk menyokong Lady Gaga, mereka perlu membeli muziknya.
"Kebenaran akan muncul juga. Selalunya begitu," ujarnya.
No comments
Post a Comment