Minat mendalam pada kereta sporty berprestasi tinggi membuatkan anak muda kelahiran Negeri Sembilan ini sanggup menukar bentuk Proton Wira kepada wajah Nissan Skyline R34.
Pada pandangan mata kasar, wajah Proton Wira keluaran 1995 itu tidak ‘wujud’ kerana dibaluti gentian kaca untuk menjelmakan kereta impiannya sejak di bangku sekolah.
Demi memenuhi impiannya, Anantha Raj, 27, sanggup menghabiskan hampir RM60,000 semata-mata mahu mengubah suai kereta yang dibelinya beberapa tahun lalu.
Waktu diambil untuk ‘melapah’ dan digantikan kit badan Nissan Skyline R34 itu selama 13 bulan, dengan melakukan modifikasi secara berperingkat-peringkat.
Kit badan seluruh badan keretanya ditempah khas di bengkel Sungai Buloh, Selangor.
Bagi menampakkan ciri Nissan Skyline, kereta itu diubah suai dengan melebarkan tiga inci serta dipanjangkan sebanyak enam inci.
Malah, lampu belakangnya menerima sentuhan jentera buatan Jepun yang asal selepas membelinya di kedai potong sekitar ibu kota supaya kelihatan asli.
Spoiler belakang berkonsep GT Wing turut memberi impak aerodinamik pada kereta berkenaan.
Ruang kabinnya, terutama papan pemuka, masih dikekalkan dengan komponen asal, tetapi dibalut dengan material kulit putih, sekali gus tampak kemas dan menarik.
Ia juga diceriakan dengan kerusi rekaan ‘bucket’ untuk memberi penampilan sedikit sporty.
Mereka yang melihat kereta itu pasti teruja, lebih-lebih lagi dengan skrin LCD 42 inci memenuhi ruang belakangnya, selain dihiasi beberapa pembesar suara.
But belakangnya juga dipenuhi pembesar suara pelbagai saiz dengan skrin 17 inci untuk ‘mencuri’ mata ketika pertandingan autoshow.
Walaupun masih menggunakan enjin standard, jentera berkenaan ditingkatkan dengan menggunakan blok 1.8 liter, selain dipadankan dengan komponen berprestasi untuk menambah kuasa maksimumnya.
Sejak keluar dari bengkel awal tahun ini, kereta berkenaan seolah-olah melonjakkan nama Raj selepas kerap memenangi setiap pertandingan autoshow dalam kategori kit badan terbaik.
No comments
Post a Comment