PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM, Kieran atau nama sebenar Maskiran Jakiran mengakui hatinya masih belum terbuka untuk menerima kehadiran wanita lain selepas hampir setahun menduda.
Kieran, 38, berkata, dia lebih banyak menumpukan perhatian terhadap kerjayanya sebagai deejay bagi mengisi kekosongan selepas berpisah dengan Yang Azli Yang Mohd Yunus.
"Setakat ini saya banyak menumpukan perhatian kepada kerjaya sebagai deejay radio dan pengacara dan belum masanya lagi untuk cari pengganti.
"Lagi pun kami berpisah dulu bukan kerana orang ketiga tapi disebabkan tiada persefahaman.
"Tapi tidak dinafikan sejak menduda ini ada juga pendengar yang cuba mendekati dan ingin berkenalan," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Hot FM, di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, Rabu.
Bercerita tentang kehidupannya, Kieran berkata, Ramadan kali ini merupakan kali kedua dia berpuasa sendirian.
"Alhamdulillah puasa kali ini masuk tahun kedua dan saya sudah dapat menerimanya berbanding tahun lalu kerana tahun lalu ketika Ramadan saya berada dalam konflik rumah tangga.
"Kalau tahun lalu memang susah sehinggakan ibu saya pun turut susah hati melihat keadaan saya kerana ketika itu kami sudah tinggal berasingan sejak Mac sebelum sah bercerai pada November lalu" katanya.
Bagaimanapun, Kieran mengakui merindui untuk berbuka bersama keluarga dan masakan isterinya seperti dahulu.
"Perbezaan sekarang saya berbuka berdua bersama ibu sahaja, dia pun faham keadaan saya dan tidak menyuruh saya untuk kembali berumah tangga seperti awal-awal dulu.
"Saya akan berjumpa dan berbuka bersama anak-anak bergilir-gilir dengan bekas isteri, tapi Hari Raya Aidilfitri ini, anak-anak akan beraya dengan keluarga bekas isteri kerana di sana lebih meriah," ujarnya.
Kieran dan Yang Azli berkahwin pada Jun 2008 dan sah bercerai pada 28 November 2012.
Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Adam,4, dan Muhammad Iman yang berusia dua tahun. mStar
No comments
Post a Comment