[Wow] Najwa Latif Terima Biasiswa Dilantik Duta UNITAR!
Penyanyi lagu Cinta Muka Buku iaitu Najwa Latif menafikan dia menerima sejumlah bayaran daripada Universiti Antarabangsa UNITAR ekoran pelantikannya sebagai duta universiti berkenaan.
Najwa, 18, sebaliknya berkata, pelantikan itu hanya membolehkan dia menerima tajaan biasiswa penuh daripada universiti berkenaan untuknya melanjutkan pengajian peringkat asasi dalam bidang Pengurusan selama setahun.
"Saya tidak menerima sebarang bayaran untuk pelantikan saya sebagai duta UNITAR sebaliknya hanya menerima tajaan biasiswa penuh daripada pihak universiti bagi melanjutkan pelajaran," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Najwa bakal memulakan pengajiannya di universiti berkenaan pada Isnin depan di Bandar Sunway di sini.
Dalam perkembangan sama, Najwa berkata, sebelum dipilih menjadi duta universiti tersebut dia memang ingin melanjutkan pelajaran di UNITAR dan menganggap pelantikannya itu sebagai satu rezeki.
Mengakui bakal menggalas tanggungjawab besar, Najwa bersedia untuk membantu pihak universiti mempromosikan jenama UNITAR di kalangan remaja sebagai pilihan untuk melanjutkan pelajaran.
"Alhamdulillah ia adalah rezeki untuk saya dan tanggungjawab ini besar dan saya akan pastikan kepercayaan diberikan itu akan dilaksanakan dengan baik.
"Bagaimanapun buat masa ini masih belum ada apa-apa perancangan daripada pihak universiti dan mungkin ia akan bermula selepas pengajian bermula minggu hadapan," jelasnya.
Dalam pada itu, Najwa berkata, dia memilih bidang Pengurusan pada peringkat asasi kerana tertarik dengan beberapa subjek Bahasa Inggeris yang ditawarkan dalam kursus tersebut.
Jelas Najwa, selepas tamat kursus asasi, dia mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan subjek dalam kursus pengurusan memudahkan dia membuat permohonan itu nanti.
"Walaupun bidang asasi yang saya pilih tiada kena mengena dengan cita-cita asal tetapi tidak mengapa. Selain dapat meluaskan ilmu pengetahuan ia juga memudahkan saya untuk membuat permohonan kursus TESL selepas tamat kursus asasi ini nanti," katanya.
Sementara itu, Najwa berkata, dia teruja untuk memulakan sesi pembelajaran bermula Isnin ini dan berharap semuanya akan berjalan dengan lancar.
Dalam perkembangan lain, Najwa baru sahaja melancarkan single berjudul I Love You dan sedang sibuk dengan aktiviti promosi lagu berkenaan.
"Alhamdulillah lagu itu telah mendapat tontonan sebanyak 200,000 di laman YouTube sejak dua minggu lalu dan Insya-Allah saya kini sibuk dengan pelbagai aktiviti promosi dan bertemu peminat,"jelasnya.
Tambah Najwa, dia tidak merancang untuk memperlahankan aktiviti seninya selepas memulakan pengajian sebaliknya yakin dapat membahagikan masa dengan baik di antara pelajaran dan nyanyian.
"Paling penting kena bijak menguruskan jadual supaya kerjaya dan pengajian tidak bercanggah dan saya yakin ia tidak akan menjadi masalah," ujarnya.
http://mstar.com.my
No comments
Post a Comment