PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mengakui berdebar apabila terpilih untuk mengadakan persembahan duet bersama bintang antarabangsa, Babyface pada majlis amal sempena Grand Prix Formula One 2013.
Siti, 34, bagaimanapun berkata, beliau masih belum membuat keputusan untuk lagu yang bakal dipersembahkan pada malam itu nanti namun mengesahkan mereka akan berduet lagu nyanyian Babyface.
"Siti berbesar hati dengan peluang keemasan ini tetapi pada masa sama ia memang mendebarkan. Apapun Siti berjanji akan membuat persembahan terbaik," katanya kepadaHarian Metro.
Acara itu diadakan bagi mengutip dana Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) dan akan berlangsung pada 21 Mac ini.
Siti berkata, beliau ada menerima beberapa buah lagu nyanyian Babyface yang dicadangkan pihak penganjur dan akan memilih yang bersesuaian.
Dalam pada itu, Siti berkata, tawaran itu adalah kali kedua buat dirinya membuat persembahan bersama artis antarabangsa selepas Gareth Gates pada Anugerah MTV pada tahun 2004 di Singapura.
Babyface yang popular menerusi lagu Everytime I Close My Eyes secara dasarnya bersetuju untuk berpadu suara bersama Siti.
No comments
Post a Comment