PETALING JAYA – Kumpulan yang pernah popular pada awal tahun 2000 iaitu X-Factor tidak berhasrat untuk bergabung kembali bagi menerbitkan album terbaharu selepas hampir 10 tahun menyepi.
Salah seorang anggotanya, Zachery Francis atau lebih dikenali sebagai Zach berkata, perkara itu tidak mungkin akan terjadi kerana kesibukan mereka dengan komitmen masing-masing.
“Kami tidak pernah merancang ke arah itu kerana kami memang tiada masa kerana masing-masing sudah ada kehidupan sendiri dan karier yang lebih stabil.
“Namun hubungan kami masih lagi baik dan sering bertemu jika mempunyai kelapangan cuma untuk kembali sebagai sebuah kumpulan ia agak mustahil,” jelasnya kepada mStar Online.
Tambah Zach, perasaan rindu untuk bersama-sama membuat persembahan pentas sentiasa ada namun mereka terpaksa akur dengan keadaan.
X-Factor dianggotai oleh Fendi, Zach, Shah, Danny dan Ivarn.
Dalam pada itu, Zach yang kini lebih dikenali sebagai pelakon berkata, dia merancang untuk menghasilkan album solo ekoran permintaan daripada para peminatnya.
Zach, 35, memberitahu, dia juga sedang mencari komposer yang sesuai untuk menerbitkan album tersebut yang turut mendapat sentuhannya sebagai penulis lirik.
“Sebagai langkah permulaan saya akan muncul dengan single terlebih dahulu sebagai memenuhi permintaan peminat yang sering bertanya bila saya mahu kembali menyanyi dan lagu itu dijangka akan keluar dalam masa terdekat,” jelasnya.
Sementara itu, Zach berkata, sebagai seorang artis, dia mengakui masih belum puas dengan pencapaiannya sama ada dalam bidang lakonan dan nyanyian.
Perkara itu telah menyebabkan dia tidak pernah berputus asa dalam mengejar matlamat yang telah diletakkan sejak mula-mula menceburi bidang seni.
“Lebih 10 tahun saya berada dalam bidang seni namun masih banyak perkara yang belum saya capai dan itu membuatkan rasa jemu itu tidak pernah muncul,” jelasnya. -mStar Online
No comments
Post a Comment