Miri: Survival, ritual dan status antara faktor utama mendorong berlakunya amalan pemburuan kepala manusia di Sarawak, bahkan di Kepulauan Borneo pada zaman dahulu kepala musuh akan disalai sehingga menjadi tengkorak dipanggil ‘antu palak’ dan diwarisi kepada generasi seterusnya.
Meskipun, amalan memburu kepala tidak lagi diamalkan dalam kehidupan masyarakat Dayak pada hari ini, namun kepercayaan menjaga tengkorak diteruskan bagi mengelak kesulitan atau musibah yang menimpa keluarga pemburu kepala.
Tengkorak manusia itu biasanya digantung di ruai atau beranda rumah panjang dan ada ketikanya diletakkan piring berisi beras, rokok, pinang, sirih, darah ayam, tuak dan sebagainya bagi hidangan untuk roh pemilik tengkorak berkenaan.
Harian Metro baru-baru ini bertemu beberapa penduduk rumah panjang di sekitar Sibuti, dekat sini, bagi mendapatkan maklumat mengenai amalan penjagaan tengkorak mangsa pemburu kepala dipercayai mempunyai roh atau semangat yang perlu dijaga.
Unggam Ligat, 60, dari Sungai Pakut, Sibuti, berkata, tengkorak yang diperoleh hasil daripada amalan memburu atau memenggal kepala manusia dalam masyarakat Iban suatu ketika dulu perlu dijaga dengan baik dan mempunyai pantang larang tersendiri.
No comments
Post a Comment