Mersing: “Saya terkejut melihat Sarida berlari sambil mendukung Adam manakala tiga lagi adiknya mengekori sambil menangis minta tolong.
“Sebaik memangku Adam, saya mendapati dia sudah tidak bergerak lalu bergegas ke hospital. Doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” kata Mahbu Man, 44, pengasuh Mohd Adam Kamaludin, 15 bulan yang ditemui lemas dalam tong menyimpan air di rumahnya di Kampung Jemari Baru, Pengkalan Batu di sini, petang kelmarin.
Menurutnya, jarak antara rumahnya dengan rumah keluarga mangsa kira-kira 500 meter dan kanak-kanak itu sering dihantar kepadanya untuk mengasuh kerana ibu bapanya bekerja. “Saya sangat terkilan tidak menjenguk Adam kerana sekitar jam 2 petang, Sarida sepatutnya menghantar dia ke rumah saya,” katanya yang juga sepupu ibu mangsa.
Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, Mohd Adam ditinggalkan bersama dua kakak dan dua abangnya yang berusia antara lima dan 12 tahun.
Mohd Adam dikatakan diambil ibunya, Sahida Hamzah, 35, dari rumah pengasuhnya kira-kira jam 12 tengah hari dan dibawa bersama menjemput abang serta kakaknya di sekolah. Lima beradik berkenaan kemudian ditinggalkan di rumah selepas ibu mereka kembali bekerja sebagai tukang sapu dengan sebuah syarikat pembersihan.
Menurut Mahbu, selepas diberi makan tengah hari, Adam sepatutnya dihantar ke rumahnya untuk dijaga, tetapi kakak kanak-anak itu dikatakan mahu menyiapkan kerja sekolahnya dahulu.
“Ketika kakaknya menyiapkan kerja sekolah di anjung rumah, mangsa dikatakan ke dapur.
“Menyedari adik bongsu mereka tiada, abang dan kakak mangsa mencarinya sebelum menemuinya terlungkup dalam tong menyimpan air,” katanya. Difahamkan, tujuh sekeluarga itu mendiami rumah terbabit tanpa kemudahan asas dan bergantung kepada air sungai dan perigi.
Menurut Mahbu, dia masih terbayang wajah kakak mangsa yang keadaan cemas mengerah tenaga mendukung Adam ke rumahnya. “Sayu saya melihat kerana Sarida menangis tidak berhenti-henti meminta adiknya diselamatkan,” katanya. Sementara itu, Nor Sarida, 12, berkata adiknya tidak kelihatan selama antara lima hingga tujuh minit sebelum dia menyedarinya. Menurutnya, selepas mencari, dia menemui adiknya terlungkup dalam tong yang berisi hanya sedikit air.
“Sebaik melihat Adam terlungkup, saya menjerit sekuat hati lalu mendukungnya sambil berlari bersama tiga lagi adik ke rumah mak cik Mahbu untuk minta bantuan,” katanya.
No comments
Post a Comment